Lapan warganegara China yang dikuarantinkan di negeri ini bebas daripada dijangkiti koronavirus.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan, hasil ujian klinikal mendapati kesemua mereka sihat dan tidak menunjukan sebarang gejala jangkitan.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah menjalankan ujian terhadap kesemua individu terbabit dan hasil ujian tersebut mendapati mereka sihat.

"Di samping itu, pemeriksaan yang sama juga mendapati tiada sebarang tanda atau gejala jangkitan virus itu pada mereka," katanya di sini pada Jumaat.

Jelas Aminolhuda, JKN Johor akan terus memantau kesihatan kesemua warganegara China itu untuk tempoh 14 hari, hingga mereka pulang ke negara asal atau yang mana terlebih dahulu.

Lapan warganegara China itu terdiri daripada empat dewasa dan empat kanak-kanak yang memasuki Johor Bahru, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah enggan memberi sebarang respon berhubung keputusan itu.

Walaupun kesemua suspek tidak menunjukkan sebarang gejala koronavirus, namun beliau masih menunggu keputusan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang dijangka keluar malam ini.

BACA: Koronavirus: Lapan warga China dikuarantin di Johor Bahru

BACA: Koronavirus: Tiada kes dilaporkan di JKN, Johor - KKM