Laporan akhir punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban dalam rusuhan di Subang Jaya pada 17 Disember lalu, dijangka siap dalam masa sebulan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kelewatan itu disebabkan ia memerlukan keputusan ujian darah.

Menurutnya, laporan ujian darah lazimnya memerlukan masa kira-kira sebulan bagi mendapatkan keputusan lengkap.

“Malah di Amerika Syarikat pun mengambil masa untuk dapatkan keputusan. Contohnya bagi kematian Michael Jackson dan Whitney Houston.

“Ahli patologi tahu kecederaan yang menyebabkan kematian, dan ujian darah akan melengkapkan laporan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong dan kesedaran denggi di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini, pada Rabu.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.