Tutup

Laporan kehilangan Amri, Raymond akan dibincang sebelum dimaklum - Muhyiddin

Laporan kehilangan Amri, Raymond akan dibincang sebelum dimaklum - Muhyiddin
Tangkapan 680 orang yang dipercayai terlibat dalam isu Macau Scam menunjukkan angka membimbangkan, kata Muhyiddin. - Gambar ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kandungan laporan akhir kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh akan dibincangkan sebelum dimaklumkan kepada umum.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sepatutnya sudah selesai bulan ini namun tarikh sebenar masih belum dapat dipastikannya.

"Sepatutnya sudah selesai tetapi saya tidak ingat tarikh sebenar. Kalau ikut jadual itu enam bulan.

"Nanti mereka akan serahkan laporan kepada saya, setakat hari ini belum dapat lagi dan semak sama ada tempoh itu sudah tamat.
"Keduanya, laporan yang saya minta buat oleh pasukan itu telah tersedia, kalau sudah ada nanti kita akan beritahu hasil daripada siasatan pasukan petugas khas.

"Sepatutnya bila tugas selesai enam bulan, tetapi saya tidak tahu bila tamat tempoh. Mereka akan serahkan laporan. Jadi pengerusi yang telah kita lantik nanti kita akan jumpa dan bincang apa kandungan dalam laporan itu. Nanti kita akan maklumkan," katanya.
BACA: KDN lantik ahli baharu sertai pasukan khas kehilangan dua aktivis sosial

BACA: Tempoh tahanan reman 680 warga China dilanjutkan

Muhyiddin berkata demikian selepas membuat pelepasan NGO Anak Muda untuk Misi Kemanusiaan Banjir di sini, pada Rabu.



Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan akan memberi fokus kepada dakwaan salah guna kuasa oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kehilangan Raymond dan Amri.

Jelasnya, fokus itu rentetan daripada kesan laporan akhir pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang telah mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kepada PDRM.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, tangkapan 680 orang yang dipercayai terlibat dalam isu Macau Scam menunjukkan angka membimbangkan.

Tegasnya, ia menunjukkan seolah-olah ada kecenderungan warga China menggunakan negara ini sebagai pangkalan untuk jenayah siber, penipuan dalam talian atau judi haram

"Perkara sebegini memang kita pandang serius, kalau ada bukti mereka sudah pindah randah, dan disebabkan itu satu kesalahan kita akan ambil tindakan juga.

"Perkara ini memang sampai ke negara ASEAN kita bincangkan tentang masalah scam, Macau Scam, judi dalam talian dan itu di bawah pemerhatian kita," kata beliau lagi.

Pada 20 November lalu, Imigresen menahan seramai 680 warga negara China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun dalam serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.


Tag: Muhyiddin Yassin, PDRM, NGO, China, ASEAN, polis, jenayah, wanita, siasatan, Imigresen, haram, banjir



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.