Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menyerahkan laporan mengenai persempadanan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, perkara itu terpulang kepada perdana menteri untuk membuat keputusan termasuk membentangkan syor suruhanjaya itu di Dewan Rakyat.

Katanya, apa yang dilakukan oleh SPR itu adalah perkara yang berlandaskan perlembagaan.

"SPR telah kemukakan laporan proses persempadanan semula Sarawak sebagaimana dikehendaki undang-undang kepada Perdana Menteri.

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk membentangkan di Dewan Rakyat untuk dibincangkan bagi dipersetujui.

"Adakah ada pindaan lagikah, tidak bersetujukah, dan sebagainya syor SPR itu," katanya semasa sidang media selepas majlis Doa Selamat dan Bacaan Yasin sempena Ulangtahun SPR ke-58 di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Beliau berkata, 86 bantahan mengenai persempadanan semula Sarawak telah dibuat setakat ini dan daripada jumlah itu, 64 bantahan adalah mengikut syarat-syarat ditetapkan SPR.

Abdul Aziz juga menjelaskan jumlah bantahan itu merupakan angka terbesar melibatkan persempadanan semula setakat ini.

Tambahnya, sebarang bantahan berhubung isu persempadanan semula perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan SPR iaitu mesti lebih daripada 100 orang daripada kalangan pengundi.

"Contoh kalau datang 60 orang tidak boleh, mesti lebih 100 orang atau mereka membantah perkara lain, serta ada bantahan tidak lengkap," ujar beliau.

Ujarnya, proses persempadanan semula akan diteruskan di Semenanjung Malaysia selepas selesai dilakukan di Sarawak.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan untuk menolak notis cadangan SPR mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak.

Keputusan itu membolehkan suruhanjaya itu meneruskan langkah berkenaan selepas cadangan penambahan kerusi DUN Sarawak diketepikan Mahkamah Tinggi Kuching Mei lalu.