Lebih 5,000 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah menerima vaksin polio secara percuma di Putatan, dekat sini pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Uda Sulai berkata kempen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sabah itu menyasarkan sekurang-kurangnya 8,700 kanak-kanak di sekitar Petagas dan daerah Putatan menerima vaksin polio.

"Pihak kita amat berterima kasih terhadap pelaksanaan program ini dan ia menunjukkan kerajaan sangat komited mencegah penularan polio di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) di Kampung Ulu, Putatan, dekat sini pada Sabtu.

Sementara itu, Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah meminta masyarakat di Putatan mengamalkan kebersihan di rumah bagi mengelak penularan wabak penyakit.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab bersama menjaga dalam kebersihan antara masyarakat setempat dan kerajaan dengan menyokong setiap program komuniti seperti kempen KIPS. -- Bernama