Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan lebih banyak aset 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB) dari seluruh negara akan dituntut.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengesan dan membuat tuntutan wang tersebut.

Ujarnya, pihak penyiasat sudah pun menghubungi pegawai di luar negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aset 1MDB yang diselewengkan ke negara berkenaan.

“Kita tak boleh lagi nak menganggarkan berapa banyak (aset di luar negara).

“Pasukan ini sedang cuba mengesan di mana aset-aset itu berada dan pihak mana yang boleh bekerjasama kerana ia banyak melibatkan bidang kuasa termasuk negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan
Switzerland. Setiap pihak ini ada bidang kuasa tersendiri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum itu, SPRM mendedahkan visual mengenai kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi di sempadan negara di Padang Besar, Perlis yang dipercayai didalangi dan dibantu oleh pihak berkuasa.

BACA: Sempadan negara dibolosi, anggota penguatkuasa 'buta' mata


Mengulas mengenai isu 1MDB, Azam turut memaklumkan seramai 10 peratus individu dan entiti yang dipercayai menerima dana 1MDB telah menyatakan persetujuan untuk membayar kompaun.

“40 peratus menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM, 45 peratus hantar surat untuk membuat rayuan manakala tiga individu tidak mahu menerima serahan notis kompaun berkenaan,”
ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang mempertikai jumlah dana yang diterima dan jumlah wang yang dituntut SPRM.