Lebih banyak sekolah di Daerah Sanglang dan kawasan berdekatan mungkin akan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) yang dikuatkuasakan sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata semalam sebanyak dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang ditutup selama tujuh hari mulai esok.

"Berkemungkinan lebih banyak lagi sekolah yang terlibat (dalam kawasan COVID-19) akan ditutup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

BACA: Semua aktiviti keagamaan di masjid dalam kawasan TEMCO ditangguhkan

BACA: Kluster Sivagangga: Kedah laksanakan TEMCO, 5 buah sekolah ditutup

Rozieana yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh berkata beliau tidak menolak kemungkinan penutupan dua sekolah itu akan berlarutan selama dua minggu.

Katanya tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dibuat berdasarkan arahan yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihataan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

BACA: Perlis laksana TEMCO di Kuala Sanglang

BACA: Perlis sudah nyatakan hasrat laksanakan TEMCO - MB

Semalam, Bernama melaporkan Kerajaan Negeri Perlis melaksanakan TEMCO selama 28 hari bermula 10.00 malam tadi di dua buah kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes dengan 11 kes baharu daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivangga.

--BERNAMA