Seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana dipercayai melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kedai serbaneka dekat Bandar Country Homes, Rawang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata. lelaki berusia 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan bekerja sebagai buruh binaan di kawasan berhampiran.

"Polis turut merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian dan siasatan awal mendapati suspek terlibat secara positif dalam kes berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tambah Samsor, suspek akan dibawa ke Mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.

BACA: Polis buru lelaki cabul budak dalam kedai

Perbuatan tidak senonoh lelaki terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan sebelum ia tular sejak petang semalam.

Dalam video berdurasi 51 saat itu, mangsa dirakam berada di rak jualan kedai bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan dipercayai adiknya.

Ketika kejadian, mangsa sedang leka melihat barang di rak jualan sebelum suspek mendekatinya dari arah belakang lalu memeluk kanak-kanak itu.

Lelaki tidak diketahui identitinya itu kemudian kembali lagi ke rak jualan terbabit dan melakukan perkara sama sebelum kedua-dua kanak-kanak itu melarikan diri.

Suspek kemudian berpura-pura melihat barang di rak jualan sebelum beredar dari ruang kedai itu.