Lelaki yang menceroboh Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak pada 25 Mei lalu dihukum penjara 33 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Lokman Mohamad Termizi, 30, selepas dia mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, selain menceroboh dia juga didakwa merempuh pintu pagar istana dengan kereta, memiliki pistol tiruan tanpa permit dan menakutkan penjawat awam menggunakannya.

Pemandu lori berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 7.40 hingga 8.15 pagi, pada 25 Mei lalu.

BACA: Pemandu lori ceroboh masuk Istana Iskandariah, bawa pistol mainan, sebilah pisau

Bagi pertuduhan menakutkan penjawat awam dan merempuh pagar istana, dia didakwa mengikut Seksyen 353 dan 427 Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan menceroboh pula, dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki senjata api tiruan, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang boleh dihukum penjara enam bulan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman terhadapnya dijalankan secara berasingan, bermula dari tarikh dia ditangkap.

Selain itu, dia turut dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran dan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Bagaimanapun, Hakim Rohaida Ishak memerintahkan tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri selama 30 hari di Hospital Bahagia Ulu Kinta bermula 2 Julai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.