1) SIAPA PENGANJUR?

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan menganjurkan Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September 2015.

Presidennya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, Pesaka menjadi penganjur kerana rasa tercabar dengan tindakan peserta Himpunan Bersih 4 hujung bulan lalu yang menggunakan demonstrasi jalanan sebagai kaedah untuk mencapai objektif mereka.

Himpunan yang bakal berlangsung Rabu ini dikenali dengan baju berwarna merah yang menjadi pilihan para penyokongnya.

Gelaran 'baju merah' mula tersebar pada 25 Ogos apabila sekumpulan lelaki memakai baju T merah diketuai pemimpin NGO Melayu Datuk Jamal Md Yunos membuat demonstrasi silat anti-Bersih di hadapan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Tetapi, Mohd Ali baru-baru ini berkata peserta perhimpunan 16 Sept tidak diwajibkan memakai baju merah.


2) APA OBJEKTIF MEREKA?

Himpunan Rakyat Bersatu menggariskan lapan objektif utama:

1. Menzahirkan amaran keras supaya jangan menghina pemimpin Melayu dan menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.

2. Menghimpun umat Melayu bagi menunjukkan solidariti sekali gus mendokong teras dan keadilan sosial seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

3. Mendesak Kerajaan supaya bertindak tegas kepada pengkhianat negara yang memfitnah serta mempertikaikan kredibiliti Kerajaan dan mahu menjatuhkan pentadbiran yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui sistem pilihanraya.

4. Mendesak Kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran tanpa kompromi untuk memupuk perpaduan dan toleransi ke arah pembentukan bangsa Malaysia.

5. Menuntut Kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar seperti yang dijamin oleh Perlembagaan khususnya di dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan pembelaan dan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

6. Menyarankan kepada Kerajaan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan sebagai satu langkah dalam usaha-usaha Kerajaan untuk memastikan tahap keselamatan dan keamanan serta ketenteraman dalam negara sentiasa terjamin.

7. Memupuk dan menzahirkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam jati diri rakyat demi menuju ke arah satu perpaduan nasional yang mantap.

8. Memastikan tiada lagi pehimpunan seperti Bersih di masa-masa akan datang.

Antara peserta Himpunan Rakyat Bersatu yang akan berarak dari Bukit Bintang ke Padang Merbok pada 16 September ini - Gambar fail

3) BILA DAN DI MANA?

Peserta disaran mula berkumpul Rabu ini pada pukul 11 pagi, 16 September di Bukit Bintang dan berarak ke Padang Merbok pada pukul 3 petang. Tiga lagi lokasi 'check point' yang ditetapkan adalah di Masjid Negara, Masjid Al Bukhary di Jalan Hang Tuah dan Kompleks Kraf di Jalan Conlay.


Jalan Sultan Salahuddin dan Jalan Parlimen antara empat jalan utama yang akan ditutup kepada semua kenderaan secara berperingkat dari jam 6 pagi hingga 6 petang pada 16 September mengikut keadaan susulan Himpunan Rakyat Bersatu.

Jalan tutup

Dalam pada itu, 773 penjaja dan 500 pekedai di Petaling Street bersetuju untuk menghentikan perniagaan pada 16 September ini bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.


4) SIAPA YANG AKAN HADIR?

Perhimpunan dijangka bakal dihadiri oleh kira-kira 30,000 peserta daripada 250 badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan pada Ahad menegaskan UMNO bukan antara penganjur perhimpunan tersebut. Namun, pada masa sama, beliau yakin pesertanya akan mengikut peraturan.


Presiden parti Datuk Seri Najib Razak terdahulu mengesahkan, UMNO tidak menaja perhimpunan 16 September ini, namun mengakui ada beberapa pemimpin parti yang terlibat selaku wakil NGO.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dalam satu kenyataan berkata, PAS tidak terlibat dalam penganjuran acara ini dan parti itu turut melarang mana-mana ahlinya dari menghadirkan diri.


5) APA KATA PIHAK BERKUASA?

Pada Selasa, 15 September, Ketua Polis KL, Datuk Tajuddin Md Isa memberikan jaminan kepada orang ramai yang ingin ke ibu kota supaya tidak perlu bimbang kerana polis akan menempatkan anggota yang mencukupi bagi memastikan keselamatan ketenteraman awam.

Pada hari yang sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Polis akan mengambil tindakan terhadap peserta 'Himpunan Rakyat Bersatu' pada Rabu sebagaimana yang dilakukan terhadap perhimpunan Bersih jika mereka mengingkari arahan dan menyentuh sensitiviti perkauman.


Pada Isnin, 14 September, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan kebenaran untuk Padang Merbok dijadikan kawasan perhimpunan aman pada 16 September ini oleh Pesaka yang membuat permohonan pada 8 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada hari yang sama turut memaklumkan pihak polis akan menggerakkan anggotanya bagi memantau Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September nanti selepas DBKL memberikan kelulusan tempat perhimpunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Isnin malam mahu peserta Himpunan Rakyat Bersatu mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Tegasnya, peserta perhimpunan turut diminta tidak membawa sebarang risalah atau poster yang boleh membangkitkan ketegangan antara kaum.

Pada Ahad, 13 September polis KL menafikan gambar dan berita kononnya, sekumpulan mat rempit berbaju merah dikatakan berkumpul dari Jalan Chow Kit dan ke Pavilion Serta Bukit Bintang yang viral di media sosial.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga menasihatkan agar mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan supaya mematuhi segala peraturan yang ada.

Katanya, ekoran DBKL telah memberi kebenaran untuk menggunakan lokasi Padang Merbok mengadakan perhimpunan itu, ia diharap agar jalan raya di sekitar ibu negara tidak diusik oleh mana-mana pihak.

Tengku Adnan berkata sekiranya syarat dan peraturan diingkari, perhimpunan itu menjadi haram dan kelulusan akan dibatalkan serta-merta.