Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pada Khamis membentangkan hala tuju utama berasaskan tiga dimensi sektor agro-makanan iaitu sekuriti makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, hala tuju itu akan dicapai melalui teras 18 strategi dan 51 inisiatif bagi memperkasa sektor pertanian dalam negara.

“Antara lima hala tuju tersebut ialah pertamanya, memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam sub-sektor padi, ruminan dan perikanan.

“Keduanya, merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian.

“Hala tuju ketiga ialah menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agro-prenuer muda,” katanya.

Salahuddin mengumumkan perkara itu pada Majlis Pelancaran Hala Tuju MOA, Prioriti dan Strategi 2019-2020 di Dewan D, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

BACA: MOA gesa kerajaan Pahang beri lanjutan 30 thn TOL kepada petani

Tambah beliau, hala tuju yang keempat ialah menambahbaik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan.

“Akhir sekali, memperkukuhkan struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian dengan menambahbaik sistem penyampaian serta tadbir urus,” katanya.

BACA: MOA perketatkan kawalan kemasukan cili import - Salahuddin

Menurut Salahuddin, kelima-lima hala tuju itu penting dalam memastikan industri pertanian menjadi lebih berdaya saing dan mampu menarik penyertaan pelaburan swasta serta penglibatan agroprenuer muda dalam sektor pertanian.

“Kementerian melalui Agrobank komited untuk menyediakan pembiayaan sebanyak RM290 juta bagi sektor pembiayaan mikro dalam tempoh sepanjang tahun ini.

“Penyediaan ekosistem yang berupaya memberi sokongan kepada semua pihak juga akan dirangka dalam memastikan kejayaan hala tuju kementerian seterusnya memperkukuh sektor agromakanan negara,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata dalam dasar melaksanakan hala tuju itu juga, MOA berazam untuk menjadikan pertanian sebagai penyumbang penting ekonomi negara.

Turut hadir timbalannya Sim Tze Tzin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.