Penyertaan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), terutamanya UMNO, ke dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan memberikan kemudahan kepada kerajaan untuk menggubal dasar, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, penyertaan beramai-ramai wakil rakyat pembangkang itu akan memberikan PH kekuatan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Sebuah kerajaan memerlukan kekuatan dua pertiga Dewan untuk memulakan perubahan yang sebelum ini menjadi kekangan dan halangan bersabit dasar.

“Jika kemasukan ini mengukuhkan (wujudkan majoriti), ia ada nilai tambah (kepada PH),” katanya selepas menghadiri program turun padang bersama penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak, Bayan Baru pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas tindakan lompat parti secara besar besaran Ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, teori seperti kononnya Bersatu sedang berusaha mengukuhkan parti itu di dalam PH dengan menambah Ahli Parlimen yang melompat tidak akan pernah berakhir untuk dibincangkan.

Pada Jumaat, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang ingin menyertai Bersatu akan ditapis terlebih dahulu.

Beliau turut menyifatkan ada Ahli Parlimen UMNO yang baik dan boleh diterima masuk.

BACA: 'Terima ahli UMNO masuk Bersatu, Kit Siang dulu pun terima saya' - Tun M

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang pada Jumaat turut menyokong kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam PH bagi mengukuhkan sokongan Melayu terhadap kerajaan.