Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menasihati pengguna media sosial supaya tidak mempercayai bulat-bulat apa yang tersebar di Internet berhubung kes rusuhan di Plaza Low Yat baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik gambar-gambar palsu di media sosial hanya sekadar menghangat kes ini dan memberi perspektif tidak tepat kepada orang ramai.

"Saya sarankan supaya jangan mudah percaya apa yang berlaku di media sosial. Tenang, dan biarkan polis menyelesaikan kes ini kerana mereka mempunya keupayaan untuk menjaga ketenteraman awam.

"Apa yang berlaku di media sosial, jangan mudah percaya," katanya lagi dalam satu sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas, ibu tunggal dan individu dalam program 'Nur Ramadan Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Gelandangan Kuala Lumpur' di Pusat Gelandangan Sementara, Medan Tuanku di sini.

Turut menghadiri program itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib juga berkata, kebebasan di media sosial wajar dikaji secara mendalam berikutan kes rusuhan itu.

Sebelum ini, tiga individu yang ditahan dalam rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat awal pagi tadi direman tiga hari bermula Ahad.

Peguambela Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, ada tiga kemungkinan yang akan berlaku esok, sama ada pihak polis akan memohon untuk melanjutkan tahanan reman, menuduh individu terlibat di mahkamah atau membebaskan mereka dengan jaminan.

Khairul berkata, beliau telah menemui tiga individu terlibat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam dan mereka ternyata terkejut dengan insiden yang berlaku.

Sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan susulan kejadian rusuhan berhampiran Plaza Low Yat yang berlaku awal hari ini.

Sebelum itu, polis pada Sabtu telah menahan seorang remaja lelaki berusia 22 tahun, dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di pusat membeli-belah tersebut.

Kejadian pada 7.38 malam Sabtu itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan Plaza Low Yat kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.