Kira-kira 20 petugas media dihalang daripada mendengar prosiding dalam mahkamah di Mahkamah Sesyen Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini bagi pendakwaan kes berkaitan memberi sokongan perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bukan sahaja tidak dibenarkan membuat liputan, bahkan kumpulan jurugambar juga dihalau oleh sepasukan polis daripada merakamkan gambar dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dan Negeri Sembilan dan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) yang dihadapkan ke mahkamah berkenaan.

Hanya keluarga terdekat dan pemimpin tertinggi DAP sahaja dibenarkan untuk memasuki kamar mahkamah bagi mendengar prosiding pendakwaan yang dijalankan di aras dua Kompleks Mahkamah Ayer Keroh itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, orang awam termasuk petugas media tidak dibenarkan mendengar prosiding pendakwaan atas faktor keselamatan.

“Ia sebenarnya lebih kepada faktor keselamatan yang mana kes ini menarik perhatian dan kita tidak mahu nanti ada yang ambil kesempatan dengan kehadiran wartawan.

“Soal merakam gambar sepatutnya tidak menjadi sebarang masalah dan saya minta maaf jika ada petugas polis yang menghalang media untuk ambil gambar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Anggota polis mengawal keadaan keselamatan di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka pada Selasa. - Gambar Astro AWANI



BACA: Dua ADUN, CEO, didakwa terbabit LTTE


Terdahulu, Adun Seremban Jaya, P. Gunasekaren, 60, Adun Gadek, G. Saminathan, 34, dan CEO Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) S. Chandru, 38, masing-masing berdepan satu pertuduhan dibawah seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, manakala Saminathan turut berdepan satu pertuduhan lain mengikut seksyen 130JB(1)(a) Kanun sama.

Sembilan lagi individu turut dikenakan pertuduhan sama di mahkamah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor, secara serentak, hari ini bagaimanapun, tidak menghadapi sebarang kesulitan seperti di negeri ini.

Sementara itu, jurucakap Mahkamah Ayer Keroh ketika ditemui berkata, tiada sebarang arahan daripada pihak mahkamah menghalang media membuat liputan memandangkan prosiding itu dijalankan di mahkamah terbuka.

“Di pihak kita memang tiada mengeluarkan arahan petugas media tidak boleh membuat liputan.

“Ini kerana hanya kes melibatkan kanak-kanak dan juga perbicaraan yang diisytihar sebagai tertutup sahaja wartawan tidak boleh masuk,” katanya.

Petugas media hanya dibenarkan melepasi garisan kawalan keselamatan polis sejurus prosiding pendakwaan selesai.