Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan lima hari bermula 26 Sept untuk perbicaraan kes seorang pelajar kolej di Kaherah, Mesir, yang didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi anggota kumpulan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan tarikh itu pada sebutan kes Mohamad Hidayat Azman, 19, yang merupakan individu pertama didakwa terbabit dengan kegiatan al-Qaeda di negara ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan selepas Aidiladha bagi membolehkan saksi pendakwaaan dari luar Kuala Lumpur hadir.

Peguam Ammira Marlini Abu Samah yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan Noor Syazwani.

Pada 12 Mei lepas, Mohamad Hidayat, pelajar Kolej Markaz Salam di Hayyu Asyir, Kaherah, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi anggota kumpulan pengganas itu.

Mohamad Hidayat dari Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Syria antara 5 Sept 2014 hingga 1 Sept 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 130J kanun sama yang boleh dipenjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.