Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Mahu beralih ke ekonomi gig? Ini cabaran, nasihat yang perlu anda tahu

Mahu beralih ke ekonomi gig? Ini cabaran, nasihat yang perlu anda tahu
Berkecimpung dalam ekonomi gig, setiap pekerja harus memastikan mereka sentiasa dapat menghasilkan kerja berkualiti. - Gambar Pixabay
KUALA LUMPUR: Zaman kini serba canggih dan teknologi menguasai dunia. Maka, serba-serbi turut berubah termasuk dunia pekerjaan yang terkena tempiasnya, dan kini mengalami transformasi.

Menjengah tahun 2020, ekonomi gig mula mendapat tempat malah ribuan sudah mula beralih ke sektor baharu itu yang dilihat mampu menjana lebih pendapatan berbanding beberapa sektor lain.

Begitupun, setiap pekerjaan pasti ada cabarannya tersendiri dan ekonomi gig juga begitu.

Bekas pekerja gig, Fauzul Khalid yang tujuh tahun berkecimpung dalam sektor itu berkongsikan cabaran malah turut menitipkan nasihat buat mereka yang menyimpan hasrat untuk menyertai sektor berkenaan.

“Sebelum mula dalam kerja sambilan berdasarkan kemahiran anda, pastikan anda mempunyai rangkaian yang kuat, bermaksud akan ada orang luar cadangkan nama anda untuk membuat apa-apa pekerjaan berdasarkan kemahiran anda.

“Dengan setiap kontrak yang anda peroleh, anda kena ambil tahu perihal syarikat yang membayar khidmat anda. Setiap syarikat adalah unik dan mereka ada cara tersendiri.
“Anda kena faham apa yang syarikat itu mahukan,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Isnin.

BACA: Ekonomi gig mampu jadi sektor pekerjaan stabil, jangka panjang

Tambahnya, kadangkala pekerja gig mungkin mendapat banyak kontrak dalam satu masa dan mereka harus pastikan ia harus diagihkan sebaiknya kerana tidak semua tugasan berkisar kepada perkara yang sama.

“Selain itu, apabila lakukan kerja secara sambilan sebegini, anda banyak bekerja di rumah dan di rumah ada banyak gangguan. Macam saya sendiri... anak datang kacau, nak ajak main.

“Dia nampak bapa dia ada di rumah dan ingat boleh bermain dengannya, tapi bapanya sedang sibuk kerja. Jadi benda macam itu kena jaga,” ujarnya.

BACA: COVID-19: Menelusuri dimensi kekuatan sektor pekerjaan di Malaysia

BACA: Perkeso harap lebih ramai pekerja ekonomi gig dapat perlindungan keselamatan sosial

Tegasnya, berkecimpung dalam ekonomi gig, setiap pekerja harus memastikan mereka sentiasa dapat menghasilkan kerja berkualiti.

“Kualiti kena sentiasa berada di tahap tertinggi kerana dalam ekonomi gig, tidak sukar untuk syarikat atau majikan membayar orang lain kalau lihat kerja anda tidak begitu bagus.

“Andainya hasil kerja anda tidak bagus, susah untuk mendapat kontrak lain. Ekonomi gig memang bergantung kepada promosi mulut ke mulut dan anda harus sentiasa berikan yang terbaik dan berkualiti.

“Kalau ada kurang sikit, orang akan sampaikan kepada orang lain dan akibatnya, anda akan susah nak dapat kontrak lain,” katanya.




Tag: Astro, Astro Awani, ekonomi, anak, rumah, gig, ekonomi gig, Grab, Food Panda, Lalamove, Bungkus It, teknologi, 2020, kemahiran, syarikat, majikan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.