Sudah sampai masanya Majlis Raja-Raja menegur Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak memahami Perlembagaan negara yang berteraskan sistem Raja Berpelembagaan.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Tunku Ismail akhir-akhir ini sudah benar-benar berbaur politik.

“Ada perkara yang boleh diperkatakan dan ada perkara yang tidak sepatutnya diungkapkan atas kapasiti Tengku Mahkota Johor.

“Tindakan TMJ amat merbahaya serta kemungkinannya boleh mengaibkan reputasi Majlis Raja-Raja Melayu di masa akan datang.

Majlis Raja-Raja Melayu harus menegur dan menasihati TMJ agar menjauhkan dirinya dari segala bentuk tindakan yang berbaur politik. Contoh teladan ini amat tidak baik serta tidak sihat sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: TMJ jawab amaran Dr Mahathir

BACA:
TMJ bebas kritik kerajaan, tetapi jangan langgar undang-undang - Tun M

Terdahulu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan sedia berhadapan dengan tindakan terhadapnya selepas mengkritik usaha kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom.

Dalam ciapan di laman Twitter peribadinya, Tunku Ismail 'mempersilakan' Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, dalam masa yang sama, rakyat perlu berpegang kepada pepatah Melayu raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

“Secara ikhlas saya ingin nasihatkan TMJ agar jangan terlalu banyak membuat kenyataan politik sehingga mungkin boleh menyebabkan akhirnya membuka pekung di dada.

“Kadang kala kita jangan terlalu ghairah untuk bercakap sehingga ianya boleh memudaratkan diri sendiri.

“Segala kenyataan berbaur politik mestilah berteraskan kepada fakta yang tepat. Kalau tidak, ianya akan mendatangkan pelbagai masalah kepada diri sendiri,” ujarnya.


Khairuddin berkata, ia berdasarkan kenyataan Tunku Ismail sebelum ini yang mempersoalkan Putrajaya kerana cuba mengambil alih kuasa Kerajaan negeri dan mendakwa Sultan serta Kerajaan Johor tidak dimaklumkan mengenai projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS).

“Saya ingin sarankan kepada Kerajaan Negeri Johor untuk buat sedikit kajian serta siasatan ke atas pemilikan enam buah syarikat yang terlibat.

“Cuba siasat syarikat-syarikat tersebut milik siapa dan di bawah naungan siapa?

“Adalah tidak adil kerana kedengaran suara-suara sumbang dari kalangan yang tidak bertanggungjawab dan menyatakan kononnya projek ini dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni yang berkaitan dengan Dr Mahathir.

“Ini merupakan tuduhan liar yang tidak berasas dari pihak tertentu yang cuba mencemarkan reputasi Perdana Menteri,” tegasnya.


Tambahnya, Kerajaan Johor harus segera mengaudit pemilikan syarikat-syarikat tersebut dan mewartakan secara umum kepada rakyat siapakah pemilik syarikat-syarikat tersebut.

Jelasnya, rakyat Johor khususnya dan negara ini amnya ingin mendapat kepastian lanjut mengenai kaitan siapa di belakang semua syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek itu.