Lebih 70 peratus daripada penama atau pemilik asal tanah di Kampung Baru yang sudah meninggal dunia menyukarkan sebarang pembangunan di lokasi berkenaan.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, faktor itu menjadikan Perbadanan Kampung Bharu (PKB) dan waris penduduk perlu bekerjasama untuk memastikan pelan kemajuan tidak hanya tinggal rancangan.

"Individu ini kena tanya diri mereka sama ada terdapat nama atau tidak di dalam geran. Saya boleh kata 70 peratus daripadanya masih nama ibu yang sudah tiada lagi.

"Jadi sepatutnya satu usaha dibuat PKB iaitu merancang pembangunan selain usaha penduduk yang harus sentiasa melakukan kempen berpanjangan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa penduduk menyifatkan penggabungan lot di Kampung Baru dilihat usaha pemilik tanah membantu PKB mempercepat pembangunan lokasi tersebut.

Mereka merasakan kerjasama itu harus disusuli dengan penerangan nilai semasa dan status tanah yang akan dibangun oleh pihak berkenaan.

Kampung Baru dibuka pada tahun 1900 oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur.

Pada Ogos 2015, Datuk Affendi Zahari dilantik menjadi Pengerusi PKB yang baharu menggantikan Datuk Astaman Abdul Aziz.

Kata Shamsuri, barisan kepimpinan baharu dalam PKB sendiri memberi semangat baru kepada penduduk di Kampung Baru untuk merealisasikan impian melihat kemajuan kawasan tersebut.

"Pihak PKB ada membuat beberapa pertemuan dan penerangan yang diberikan memuaskan hati penduduk sendiri.

"Kita sendiri lihat pendekatan PKB kali ini lebih menyerlah walaupun masih ada tahap kerjasama dengan pejabat tanah yang harus dipertingkatkan," jelasnya.

Sebelum ini, PKB yang menjadi perantara kerajaan dan pemilik tanah Kampung Baru menyatakan sebanyak 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah bersetuju untuk membangunkan semula kawasan berkenaan berdasarkan draf PITPKB 2020

PITPKB 2020 yang dijangka siap pada 2035 mampu memenuhi keselesaan dengan menampung jumlah penduduk sehingga 77,000 orang membabitkan 17,500 unit kediaman dan pusat komersial.