Walaupun novel koronavirus (2019-nCoV) merupakan virus baharu, yang masih belum dikenal pasti dengan tepat cara penularannya, Malaysia mempunyai pengalaman dalam mengawal penyakit berjangkit berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, keyakinan itu berlandaskan cara Malaysia menangani dengan baik wabak berbahaya dahulu seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), virus Nipah, serta Ebola.

Namun, kerajaan masih memerlukan kerjasama rapat orang awam untuk menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing, termasuk mengelakkan diri daripada berkongsi maklumat tidak sah, sekali gus boleh mengakibatkan panik dalam kalangan masyarakat.

“Ini adalah virus baharu, we don't really know the identity, behaviour... jadi kita kena sarankan macam mana nak elakkan dari terjangkit. Tetapi Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam menangani SARS, Nipah virus, EBOLA. Ia menunjukkan bahawa kita mempunyai kapasiti untuk mengawalnya.

“Tapi kita masih perlukan kerjasama dari rakyat Malaysia. Jangan tularkan berita tidak benar kerana ia akan menimbulkan panik,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Novel Coronavirus (2019-nCoV), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, masih belum ada keperluan untuk mengkaji visa 15 hari yang diberikan kepada rakyat China, kerana Malaysia akan berpandukan kepada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam membuat sebarang keputusan berkaitan.

“Seperti apa yang dikatakan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita ikut apa yang disarankan WHO, dan buat masa ini masih belum sampai ke tahap itu,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, setakat ini terdapat 51 mesin pengimbas haba di pintu masuk negara, dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan.

BACA: Saringan di pintu masuk negara diperketat - TPM