Kerajaan akan bertindak tegas dalam isu melibatkan pelarian Rohingya yang menceroboh masuk ke negara ini, termasuk tidak lagi menerima mereka selepas ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, antara tindakan akan diambil adalah menghantar pelarian terbabit ke penempatan yang disediakan oleh kerajaan Bangladesh.

Katanya, pada masa sama, Kementerian Luar diminta berbincang dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menempatkan mereka di negara ketiga lain.

"Kerajaan minta Kementerian Luar berbincang dengan UNHCR supaya hantar mereka ke negara ketiga, banyak negara dunia yang persoalkan (mempertikai) macam mana (cara) Malaysia urus pelarian Rohingya ini.

"Jadi kita minta mereka terimalah. Saya minta Kementerian Luar bincang dengan mereka supaya terima Rohingya kerana mereka adalah ahli konvensyen mengenai pelarian.

"Kita akan tegas kali ini, kita akan hantar mereka ke Bangladesh dan negara ketiga lain," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.

BACA: Bocorkan bot bagi elak diusir, 269 PATI Rohingya akhirnya ditahan

Mengulas mengenai tindakan 269 PATI Rohingya yang bertindak membocorkan bot mereka untuk menceroboh masuk Malaysia, jelas beliau, modus operandi warga asing itu telah banyak menyusahkan negara.

"Memang benar PAT (Panglima Angkatan Tentera) telah membuat kenyataan semalam... benar ada kemasukan mereka yang mana modus operandi mereka menyusahkan kita. Apabila mereka masuk, mereka tebuk bot mereka.

"Apabila masuk ke dalam perairan mereka terjun ke laut. Jadi kita tak mempunyai banyak pilihan sama ada nak biar mereka di laut atau selamatkan mereka atas dasar kemanusiaan. Takkan nak biar anak kecil, orang tua mati depan mata tanpa selamatkan mereka," katanya lagi.

Justeru katanya, kerajaan kali ini membuat keputusan untuk memastikan kumpulan pelarian terbabit dibawa pulang ke tempat asal.

"Kita sudah buat keputusan mereka takkan berada di negara kita. Kita akan minta Kementerian Luar untuk bincang dengan Bangladesh... kalau pelarian yang datang dari Cox's Bazar kita akan hantar balik dan tempatkan mereka di Pulau Bhasan (penempatan) yang kerajaan Bangladesh bina untuk pelarian Rohingya," katanya.