Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dilihat berperanan besar sebagai pemangkin kepada industri francais di negara ini.

Seiring usaha itu, Malaysia memerlukan lebih ramai pereka cipta dan usahawan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pereka cipta, menurut Najib, perlu mempelbagaikan inisiatif bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi, malahan bidang sosial yang masih belum diterokai sepenuhnya.

“Inilah perubahan yang perlu pada kita. Ini bukan bererti bahawa birokratis, teknokrat yang lain tidak penting; mereka penting juga untuk negara kita, tetapi kalau kita nak menjana kekayaan, kita perlukan inovator dan usahawan,” kata Najib.

Najib berkata demikian pada Majlis Perasmian Menara PNS di Bangsar South pada Jumaat.

Selain itu, Najib turut mengingatkan usahawan francais supaya menggandakan usaha dan memberikan perkhidmatan terbaik supaya pelanggan terus kekal bersama produk mereka.

“Begitulah juga kalau kita masuk kedai francais, kalau pengalaman kita yang pertama adalah teruk, kita tidak akan menjejak kaki ke outletnya yang akan datang.

“Jadi, pengalaman pertama adalah segalanya. Maknanya kita mesti pastikan pengalaman yang mereka akan rasakan (ialah) satu pengalaman yang mereka hendak ulangi, merasai lagi pengalaman itu,” ujar Najib.

Beliau berkata usahawan yang menggunakan dana sendiri untuk menguruskan perniagaan cenderung berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kejayaan.

Menara PNS merupakan bangunan bertaraf Koridor Raya Multimedia (MSC) dan berstatus Bangunan Hijau.

Menara setinggi 17 tingkat ini dilengkapi dengan kelengkapan menyeluruh termasuk auditorium, pusat latihan akademi, bilik mesyuarat bersepadu termasuk Coffee University oleh Gloria Jean’s Coffee.

Bersempena dengan perasmian tersebut, PNS turut menganjurkan Sidang kemuncak Francais Antarabangsa 2015 yang mengumpulkan usahawan dan penggiat francais tempatan dan antarabangsa di bawah satu platform untuk berkongsi dan berdiskusi mengenai industri francais.

Selain itu, sesi pemadanan perniagaan juga diadakan melibatkan enam jenama antarabangsa antaranya Zambrero, Acumen Sports Centre dan Just Cuts.