Tenaganita meluahkan perasaan kecewa susulan keputusan mahkamah melepaskan Ambika MA Shan daripada kesalahan membunuh pembantu rumahnya, Adelina Lisao.

“Kenapa mahkamah kita gagalkan dia? Kenapa kerajaan Malaysia gagalkan dia? Mana keadilan untuk Adelina?” tegas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataan.

Menurut laporan akhbar Kwong Wah Daily, suspek berusia 60 tahun itu dibebaskan daripada hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Jumaat.

Tenaganita menuntut agar Peguam Negara memberi penjelasan bagaimana pihak pendakwa gagal untuk memberi keadilan kepada Adelina walaupun, katanya, terdapat banyak bukti kukuh dalam kes ini.

Pada awal 2018, Adelina, 21 tahun, dilihat tidur di luar rumah bersama anjing peliharaan majikannya, dalam satu gambar yang diambil seorang jiran.

Foto Adelina yang menyayat hati itu tular di media sosial dan mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang terus mengambil tindakan menyiasat kes tersebut.

BACA: Amah didera majikan, dibiar tidur luar dengan anjing

BACA: Dera amah: Jiran sering dengar jeritan, diberi amaran jaga hal sendiri

Adelina ditemui dengan kecederaan teruk di seluruh badan - lengan dan kakinya dipenuhi dengan luka bernanah akibat terbakar, manakala mukanya pula bengkak.

Majikan tersebut dilaporkan mengadu tentang keadaan Adelina yang mengotorkan lantai dengan darah dan nanahnya.

Namun, pembantu rumah itu tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari 2018.

Tenaganita berkata, tiada seorang pun ahli keluarga Adelina yang diberitahu bahawa tarikh perbicaraan kes tersebut ditetapkan pada 18 April lalu.

“Dia mati bukan akibat penyakitnya, tetapi kerana dia didera,” kata ibu Adelina, Yohana Banunaek yang berasal dari Indonesia, pada 12 Februari lalu kepada pemberita.

BACA: Ibu Adelina Lisao kembali menuntut keadilan