Tutup

Mangsa lemas pancing udang, akhirnya ditemui setelah tiga hari

Mangsa lemas pancing udang, akhirnya ditemui setelah tiga hari
Mayat mangsa ditemui pada pukul 7 pagi ini setelah proses pencarian berjalan sejak Jumaat lalu. - Foto ihsan JBPM Perak
TELUK INTAN: Mangsa lemas yang hilang setelah memancing udang di Dataran Udang, Sungai Perak, tiga hari lalu akhirnya ditemui oleh orang awam dalam jarak 5 kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.

Mayat mangsa, Tan Kok Boon, 30 tahun, berjaya ditemui pada pukul 7 pagi ini, setelah proses pencarian berjalan sejak Jumaat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi pencarian menggunakan dua unit bot aluminium dengan kaedah surface searching.

Katanya, operasi pencarian merangkumi jarak 7 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
"Agensi yang terlibat ialah anggota bomba, K9, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

"Kekuatan logistik pula melibatkan dua buah bot bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Hutan Melintang dan Bidor, termasuk bot dari PDRM dan APM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Lelaki dikhuatiri lemas ketika pancing udang

Tambahnya, anggota yang terlibat seterusnya menaikkan mangsa ke tebing dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing udang bersama-sama rakannya di  Dataran Udang, Sungai Perak, pada 8 Nov lalu.

Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.42 petang hari sama sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bergegas ke lokasi tersebut.