Mangsa pedofil Richard Huckle 'disembunyikan', ketua komuniti berdiam diri

Mangsa pedofil Richard Huckle 'disembunyikan', ketua komuniti berdiam diri
Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup akibat perbuatannya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lebih enam bulan selepas Richard Huckle dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana mencabul kanak-kanak, kebanyakan daripada keluarga dalam komuniti yang pernah didatangi pedofil tersebut enggan menerima bantuan termasuk sesi kaunseling, lapor Reuters.

Sepanjang dekad lalu, Huckle telah menyamar sebagai jurugambar bebas, guru bahasa Inggeris dan dermawan dari Barat untuk mendapatkan akses kepada kelompok miskin di Kuala Lumpur, iaitu komuniti yang jarang mendedahkan isu pencabulan seksual kanak-kanak atas dasar tabu.

Pihak polis juga telah cuba mendekati sejumlah 320 orang dewasa dan 101 kanak-kanak di dua buah komuniti yang pernah diperdaya Huckle, jelas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Ong Chin Lan.

“Kami telah kenal pasti beberapa mangsa. Kami cuba untuk kenal pasti komuniti tersebut. Namun kami menghormati pandangan ibu bapa dan penjaga yang tidak mahu ke depan. Mereka tidak mahu membuat laporan polis kerana menjaga aib dan maruah,” ujarnya.

Menurutnya, polis telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk mengelolakan program khas.

Program itu memberi tumpuan terhadap kaunseling serta terapi ke atas mangsa dan keluarga mereka. Bagaimanapun, tidak didedahkan berapa ramai yang turut serta.

Pihak NGO yang cuba mendekati mangsa juga mengakui mereka mengalami kesulitan untuk mendapatkan individu yang mereka sasarkan dalam program mereka.

BACA: Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup

BACA: Hormati hak asasi mangsa Richard Huckle - Polis


Enggan bercakap

Di sebuah komuniti di tengah-tengah Kuala Lumpur yang pernah didatangi Huckle, penghuninya mengelak untuk membincangkan isu itu, ujar ketua pemimpinnya.

Selama hampir dua tahun, Huckle bergaul rapat dengan komuniti terpencil itu bersama kameranya, termasuk mengambil bahagian dalam keraian Hindu serta acara sukan.

Komuniti berkenaan, yang Reuters enggan mendedahkan namanya, diberitahu mengenai jenayah Huckle oleh polis British dan NGO pada awal 2016. Kemungkinan tentang Huckle mencabul kanak-kanak di situ telah membuatkan beberapa mesyuarat dan perbincangan mengejut diadakan.

Namun, apabila kes itu mendapat liputan luas media, penghuni komuniti tersebut jadi lenbih tertutup dan berjaga-jaga tentang perhatian umum.

“Kami semua gementar sepanjang dua hingga tiga minggu, namun kini kami memilih untuk diam sahaja,” ujar ketua komuniti berkenaan sambil ‘secara tegas’ menafikan terdapat mangsa yang dimaksudkan di tempatnya.

Setakat ini hanya bengkel keselamatan yang dianjurkan sebuah NGO, Protect and Save the Children (PSC) yang rapat dengan komuniti tersebut sejak awal tahun lalu.

PSC menganjurlkan bengkel kepada kanak-kanak dengan mengajar mereka tentang sentuhan fizikal yang patut dan tidak patut, sambil berharap mangsa-mangsa Huckle akan tampil supaya boleh ditawarkan kaunseling.

Hanya sejumlah kira-kira 20 hingga 70 orang dalam komuniti etnik India itu yang hadir ke bengkel berkenaan.

Perlindungan

Huckle ditangkap di London pada 2014 selepas unit penyiasatan Australia membongkar aktivitinya dalam rangkaian perkongsian web, termasuk melibatkan pertukaran gambar.

Dia telah dijatuhkan sebanyak 22 hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah London pada Jun selepas mengaku bersalah atas 71 dakwaan pencabulan seksual ke atas kanak-kanak berusia antara enam bulan ke 12 tahun, di Malaysia dan Kemboja.

Kes tersebut menggemparkan rakyat Malaysia yang mula menyoal tentang keberkesanan undang-undang perlindungan kanak-kanak dan penguatkuasaannya.

BACA: PDRM cari rakan subahat pedofil Richard Huckle - KPN

BACA: Kementerian akan adakan program komuniti di kawasan mangsa pedofil

BACA: