Mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid, Ijok dekat Batu Kurau lewat petang Jumaat telah disahkan terkorban.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mangsa, dikenal pasti sebagai Hanudin Bahazim dan berusia 60 tahun.

“Dengan penuh hiba dan dukacita, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Hanudin Bahazim yang disahkan terkorban.

“Semoga roh Allahyarham dikumpulkan bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh.

BACA: Tanah runtuh Batu Kurau: Mangsa tertimbus berjaya dikesan

BACA: Seorang dikhuatiri tertimbus kejadian tanah runtuh di Batu Kurau

“Bersama kita doakan agar keluarga mangsa dikurniakan ketabahan menghadapi dugaan yang begitu berat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat malam.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri mengambil maklum berhubung kejadian tanah runtuh melibatkan tiga rumah di kampung tersebut.

“Semua jabatan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam, PDRM telah menggerakkan misi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang mangsa lelaki berumur 60 tahun yang dikhuatiri tertimbus manakala mangsa-mangsa lain yang cedera telah dihantar ke hospital,” ujarnya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota penyelamat serta jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang telah terlibat dalam misi SAR dan membantu semua mangsa di lokasi.

Tambahnya, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca dan mengambil langkah-langkah segera supaya kejadian tidak berulang.