Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengambil tindakan terhadap pelajar tajaannya yang menyertai himpunan "#Tangkap MO1" yang diadakan di ibunegara pada Sabtu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menegaskan setakat ini tiada laporan penglibatan pelajar tajaan MARA menyertai himpunan berkenaan.

“Kita akan siasat, setakat ini tiada laporan lagi, tetapi kalau ada kita ambil tindakan kerana himpunan ini haram walaupun himpunan di bawah Akta Himpunan Aman tetapi syarat berhimpun di kawasan yang ditetapkan oleh polis tapi kalau luar kawasan yang ditetapkan pergi ke kawasan itu dianggap haram, mana pelajar yang sertai kita akan ambil tindakan,” katanya di sidang media selepas majlis Moh Ngeteh hari kebangsaan 2016 di Maktab Rendah Sains MARA, MRSM Pengkalan Chepa di sini pagi tadi.

Pada Sabtu, gerakan hahasiswa menganjurkan himpunan “#Tangkap MO1” di sekitar ibu negara yang disertai lebih 1,000 mahasiswa dan siswi dari institusi pengajian tinggi.

'MO1" merujuk kepada individu yang dinyatakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita harta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Menyentuh mengenai Program Moh Mengeteh, beliau menjelaskan program ini merupakan julung kali diadakan bagi menanam semangat kemerdekaan dan cintakan negara yang diadakan serentak di seluruh negara melibatkan warga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, KKLW termasuk pelajar tajaan MARA di luar negara.