Mayat pekerja warga China yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam petang semalam berhampiran Empangan Kobat, di Indera Mahkota di sini, ditemui pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Chen Xi ditemui pada jam 9.33 pagi manakala rakannya, Ren Cheng, ditemui jam 10.04 pagi. Kedua-duanya berusia 29 tahun.

Kedua-dua mangsa ditemui kira-kira 20 meter daripada tempat bot berkenaan karam, menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul.

"Mangsa ditemui oleh anggota pasukan pencari dan penyelamat (SAR) yang melakukan pencarian sehingga jarak 300 meter daripada tempat mangsa hilang," katanya ketika dihubungi.

Mohd Sani berkata, mayat mangsa sudah diserahkan pihak polis ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk tujuan bedah siasat.

"Pusat operasi kini ditutup selepas pencarian mangsa dibuat sejak jam 4.35 petang semalam," katanya.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika mangsa menaiki bot berkenaan bersama dua lagi rakan mereka, juga warga China, dan seorang pemandu bot warga tempatan.

BACA: Bot terbalik di Kuantan, 2 warga China dikhuatiri lemas

Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Duan Feng dan Zhang Jian Zheng - kedua-duanya 27 tahun - manakala pemandu bot berkenaan adalah Mohd Yusdi Mohd Yusof, 38 tahun.

Difahamkan ketika kejadian, kesemua mangsa sedang melakukan lawatan kerja ke kawasan empangan itu sebelum bot dinaiki mereka karam.