Seorang pegawai tentera darat Kapten Hasman Hussin yang dilaporkan hilang 26 Disember lalu, selepas dihanyutkan banjir di Pulaskit County, Missouri, Amerika Syarikat, disahkan meninggal dunia.

Mayat Allahyarham ditemui 11 pagi waktu tempatan pada 28 Disember.

Berita penemuan jenazah Allahyarham dimaklumkan kepada keluarganya di Masjid Tanah oleh Panglima Markas Tiga Divisyen, Kem Terendak Melaka, Mejar Jeneral Datuk Samrose Mohd Zain, jam 8.30 pagi tadi.

Pihak Tentera Darat kini sedang berusaha untuk menguruskan waris terdekat Allahyarham ke Amerika Syarikat untuk proses pengecaman jenazah.

Allahyarham Hasman berada di Amerika Syarikat bagi mengikuti Kursus Kerjaya Kapten Jurutera bermula 1 Oktober dan dijadualkan berakhir 15 April 2016.

Semalam Markas TD Wisma Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, Hasman dikhuatiri hilang selepas kereta dinaiki bersama empat yang lain dihanyutkan banjir ketika mengharungi laluan di Pulaski County.

Sehingga semalam, empat mayat rakannya telah disahkan ditemui.

BACA: Keluarga harap anggota tentera hilang di Amerika Syarikat ditemui