Mayat lelaki yang dipercayai Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dibawa ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur dari Hospital Putrajaya pagi ini bagi melakukan bedah siasat.

Jong Nam sebelum itu dibawa ke Hospital Putrajaya selepas dia mengadu mengalami pedih selepas mendakwa disembur dengan cecair.

Konvoi membawa jasad itu dilihat memasuki hospital berkenaan kira-kira sembilan pagi tadi.

Turut kelihatan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing dipercayai wakil kerajaan Korea Utara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilihat meninggalkan perkarangan unit forensik HKL menaiki kenderaan polis.

BACA: Menelusuri riwayat Kim Jong Nam: Siapa dan mengapa?

BACA: Polis masih siasat identiti sebenar 'Kim Chol'

Bagaimanapun tiada sebarang kenyataan diberikan kepada media.

Jong Nam, 47, menggunakan dokumen perjalanan Korea Utara atas nama Kim Chol, dipercayai diserang wanita warga Korea di aras pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur 2 kira-kira jam 8 pagi ketika menunggu pesawat ke Macau.

Suspek dikatakan secara tiba-tiba menyerkup kepala mangsa dengan kain yang dipercayai sudah dibasahi cecair beracun.