PADA Sabtu, kerajaan telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2021-2030. WKB dirancang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan dan inklusif kepada semua rakyat.

Terdapat tiga persoalan utama yang bermain di fikiran kita yang perlu diberi sedikit pencerahan.

Pertama, apakah bezanya WKB dan dasar-dasar terdahulu?

WKB bukanlah suatu dasar yang baharu kepada Malaysia dan ianya lebih terarah kepada “penjenamaan” semula dasar-dasar terdahulu mengikut keperluan semasa. WKB membawa agenda “Pertumbuhan Dengan Pengagihan (PDP)”, iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi dikongsi secara adil tanpa mengira kaum dan lokasi. Ini bermakna bahawa peningkatan pendapatan keseluruhan rakyat perlu seiring dengan peningkatan KDNK. Tidak seperti sekarang, peningkatan KDNK memberi kesan yang kecil kepada pertumbuhan pendapatan terutamanya golongan berpendapatan rendah.

VIDEO: Cabaran jadikan Wawasan Kemakmuran Bersama sebuah realiti

Konsep PDP pertama kalinya dilaksanakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB). Selepas daripada DEB, Malaysia beralih kepada dasar-dasar bersifat “Pertumbuhan Dahulu, Pengagihan Kemudian (PDPK)”. PDP diperkenalkan semula di dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) kerana didapati pertumbuhan ekonomi selepas DEB tidak membawa banyak penambahbaikkan kepada pengagihan. Walaubagaimanapun, amalan RMK-10 dan RMK-11 kembali terarah kepada PDPK.

Kini, konsep PDP diperkenalkan semula di dalam tempoh 2021-2030 melalui WKB. Ini bermakna, setiap dasar-dasar dan strategi-strategi pertumbuhan ekonomi perlu ada dan mengambil kira implikasi ke atas pengagihan.

Kedua adakah WKB mengcukupi untuk 'overhaul' ekonomi Malaysia?

Hampir keseluruhan aspek yang memerlukan kepada overhaul ekonomi ada terkandung di dalam WKB. WKB menyenaraikan permasalahan utama ekonomi semasa yang menuntut kepada perubahan struktur ekonomi Malaysia. Paling kritikal dan memerlukan pemantauan adalah perlaksanaan setiap daripada dasar-dasar dan strategi-strategi WKB. Kurangnya keberkesanan dasar-dasar yang terdahulu disumbang salah satunya oleh kelemahan perlaksanaan.

WKB hanya mengariskan matlamat dan dasar-dasar yang ingin dicapai oleh Malaysia pada 2030. Perincian kepada setiap dasar-dasar tersebut akan dinyatakan di dalam RMK-12 (2021-2015) dan RMK-13 (2016-2020).

BACA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancarkan

Ketiga, adakah sasaran WKB mampu dicapai pada 2030?

Terdapat sasaran WKB yang realistik dan mampu dicapai. Umpamanya, sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7% setahun untuk tempoh 2021-2030 adalah realistik dengan mengambil kira potensi ekonomi Malaysia masa kini dan persekitaran ekonomi global.

Terdapat juga sasaran yang agak sukar untuk dicapai dan jika ingin dicapai ia menuntut perubahan besar kepada ekonomi dalam masa 10 tahun akan datang. Umpamanya, bahagian pampasan pekerja pada 2030 disasarkan sebanyak 48% daripada KDNK. Bahagian pampasan pekerja 2015 adalah sebanyak 34.9% dan hanya meningkat kepada 35.7% pada 2018. Selain itu, sasaran sumbangan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada KDNK 2030 adalah sebanyak 50%. Sedangkan dalam tempoh 5 tahun di antara 2010 dan 2015, sumbangan PKS kepada KDNK hanya meningkat sebanyak 4.4% daripada 32.2% kepada 36.6%.

Jika sasaran-sasaran ini ingin dicapai, ada dua pilihan kepada Malaysia.

Pertama, kadar pertumbuhan ekonomi perlu melepasi 6% setahun. Strategi ini mengembangkan “pie” tetapi adalah sukar dalam keadaan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu. Kedua, struktur pengagihan yang melibatkan pasaran buruh, komposisi sektor-sektor ekonomi dan rantaian bekalan perlu diubah. Strategi ini mengubah pembahagian “pie” tetapi akan memakan masa kerana perubahan melibatkan jangka masa panjang.

BACA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan beri suntikan baharu kepada ekonomi negara



* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari ialah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

** Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.