JIKA Tunku Abdul Rahman ditakdirkan masih hidup, umurnya hari ini genap 112 tahun. Tetapi kalau ditakdirkan umurnya panjang sehingga kini, beliau barangkali seorang tua yang sekarang selalu mengeluh mengenangkan nasib negara dan bangsa yang beliau bantu bangunkan ini.

Bekas Perdana Menteri yang pertama itu barangkali bukan lagi seorang yang riang dan ceria, seperti catatan-catatan legenda (dan romantis) tentang dirinya.

Ada sesuatu yang sangat asing antara Malaya yang beliau isytihar merdeka pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963 dengan apa yang ada pada hari ini. Setelah sejauh ini negara ini mengharung zaman, ada sesuatu yang semacam sedang terhakis, suduh luput dan hilang.

Apakah Malaysia hari ini masih lagi sebuah Malaysia yang Tunku -- dan bapa-bapa pendiri bangsa yang lain -- bayangkan? Apakah tidak mungkin tanah air ini sudah jadi sebuah negara yang sama sekali tidak lagi mereka kenali?

Mengenang Tunku
Kenang-kenangan tentang Tunku itu membolehkan kita merenung sebuah Malaysia yang pernah ada serta sebuah masa depan yang pernah dibayangkan oleh bapa-bapa pendiri bangsa. - Sumber Foto Arkib Negara

Negara ini mungkin sudah membangun maju dan makmur manakala sebahagian besar rakyatnya sudah kaya-raya -- tetapi apakah negara yang sama ini membahagiakan anak watannya? Apakah negara ini membalas kasih sayang warganya sama seperti mana mereka menumpahkan taat dan setia kepada ibu pertiwi?

‎Apakah janji yang tercatat dalam perisytiharan yang dibaca semasa merdeka dan ketika Malaya, Sabah dan Sarawak bersama-sama Singapura membentuk Malaysia -- kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini -- sudah dikotakan?

Negara ini kaya tetapi apakah kekayaannya sudah dikongsikan dengan saksama? Tiga wilayah berdaulat dan merdeka yang kekal sampai sekarang dalam persekutuan Malaysia sudah berjanji sepakat berkongsi "masa depan bersama".

Tetapi tidak saja dalam pembangunan, hubungan sesama rakyat yang dipisahkan oleh Laut China Selatan juga terasa jurangnya.

Tidak itu saja, jurang antara kelompok majoriti dan minoriti pun menjadi beban yang besar. Soalnya, kenapa harus ada warganegara yang merasa dirinya bagaikan menumpang di tanah air sendiri?

Begitulah, setiap kali hari ini tiba, setiap kali itu ada kelompok yang mengenang semula ketokohan serta legasi Bapa Malaysia itu.

Kita tidak mengenang hari kelahiran bapa pendiri bangsa itu dengan cuti umum seperti mana Amerika Syarikat memperingat George Washington, Abraham Lincoln dan Martin Luther King. Cuti atau tidak cuti bukan soalnya. Usaha mengenang semula itu cukup penting dan itu jauh sudah memadai.

Kenang-kenangan tentang Tunku itu membolehkan kita merenung sebuah Malaysia yang pernah ada serta sebuah masa depan yang pernah dibayangkan oleh bapa-bapa pendiri bangsa, dan seterusnya melihat apakah ia masih ada, apakah impian itu terlaksana -- atau tinggal hanya jadi angan-angan dan cita-cita.

Untuk beberapa hari akan datang, kami akan menerbitkan pandangan beberapa orang tokoh yang mengupas tentang Tunku, gagasan idea dan legasinya, serta melihat pula apakah ertinya bagi kita sekarang.

MENGENANG TUNKU: TANAM ROH DALAM JIWA PEMIMPIN HARI INI - SAIFUDDIN

[INFOGRAFIK]: LEGASI TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ


MENGENANG TUNKU: AMANAT TERAKHIR TUNKU ABDUL RAHMAN SEBELUM LETAK JAWATAN


MENGENANG TUNKU: 'TANAH TUMPAHNYA DARAHKU; BAWA MAKNA BESAR BUAT TOK


Mungkin dalam usaha itu kita akan terperangkap jadi terlalu romantis tentang sebuah masa lalu atau terlalu idealis tentang sebuah masa depan.

Dalam segala keterbatasan, kami sebenarnya mahu mengajak anda untuk sama-sama merenung kemungkinan-kemungkinan yang ada untuk masa depan kita semua, masa depan negara ini dan anak cucu kita.