Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot hari ini menyangkal dakwaan oleh tiga Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan kelayakan akademik beliau.

Richard memberitahu pada sidang media tengah hari tadi bahawa beliau juga telah bercakap dengan peguam beliau untuk mengemukakan saman fitnah berhubung perkara itu.

Awal pagi tadi, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Stampin Julian Tan, dan Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mendakwa Riot mempunyai ijazah Sarjana Muda dan ijazah Sarjana yang diragui kesahihannya.

Mereka mendakwa sebuah laman web rasmi menyenaraikan Riot sebagai pemilik Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University di Amerika Syarikat.

"Bukan sahaja kita tidak dapat mencari laman web yang dimiliki oleh Chartered Institute of Business Administration (Ireland), tetapi Preston merupakan sebuah universiti palsu yang terkenal dan pernah dilaporkan oleh banyak akhbar," Ong berkata.

Riot berkata meskipun beliau mempunyai tugasan menteri hari ini, beliau tetap datang ke sidang parlimen selepas mendengar mengenai dakwaan itu kerana "saya merasakan satu kewajipan untuk memberi penjelasan."

"Saya menyangkal dakwaan ini ... kenyataan akhbar ... apa yang terkandung di sini ... kandungannya. Kerana ia dilakukan di luar bangunan Parlimen saya akan membiarkan peguam saya untuk mengendalikan ini. Ini adalah fitnah," katanya.

"Saya perlu memberitahu anda. Ijazah pertama saya adalah dari University of Hertfordshire di London. Saya berkelulusan Sumber Manusia,” katanya, sambil menambah bahawa beliau mempunyai sarjana dalam bidang Sumber Manusia juga.

Beliau berkata Perdana Menteri juga akan menyemak latar belakang seseorang sebelum melantik seorang sebagai menteri.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga mempersoalkan kelayakan Dr Ewon Ebin, menteri baru Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang didakwa turut mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah palsu.

Walau bagaimanapun, Riot berkata bahawa beliau tidak dapat menjawab bagi pihak Ewon.