Jenazah dua mangsa tragedi MH17 dari Sarawak Allahyarham Ariza Ghazalee dan Muhd Afif telah selamat dikebumikan selepas solat asar hari ini.

Terlebih dahulu jenazah kedua dua anak beranak berkenaan yang tiba dari Kuala Lumpur kira kira jam 2.17 petang di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kuching mengunakan pesawat Charlie telah diiringi oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat Datuk Sri Rohani Abdul Karim dan juga Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Turut bersama adalah kakak kepada Ariza iaitu Madzalina Ghazalee.

Ketibaan kedua-dua jenazah telah disambut oleh ibu mangsa Puan Dayang Jamilah Noriah Abang Anuar serta ahli keluarga.

Suamin Allahyarham Ariza, Tambi Jiee serta empat orang anak Muhammad Afif Tambi, Muhammad Afzal Tambi, Marsha Azmeena Tambi dan Muhammad Afruz Tambi adalah antara mangsa nahas pesawat MH17 yang dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai lepas.

Di samping itu, turut hadir adalah Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman dan juga bekas Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Ahmad Salahuddin Abang Barien beserta kira kira 200 orang anggota tentera.

Selesai sahaja jenazah dikeluarkan dari pesawat, kedua dua keranda diusung masuk ke van jenazah sebelum dibawa ke Masjid Jamek Negeri Sarawak untuk solat jenazah yang mana solat diimamkan oleh Imam Besar Negeri Sarawak Dato Haji Jogi Haji Suhaili sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Samariang untuk dikebumikan.

Turut hadir ke solat jenazah adalah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem , Datuk Putit Mat Zen, Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Zohari Tun Openg, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.