Duta Ukraine Olexander Nechytaylo mengalu-alukan laporan interim Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) sambil berkata ia menampilkan bukti konklusif bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK 9M38-series yang dibawa dari Rusia.

Nechytaylo menyifatkan laporan yang dikeluarkan di Belanda pada Rabu sebagai peristiwa penting dan langkah besar ke hadapan yang mencerminkan usaha berterusan dan menyeluruh yang dijalankan selama ini."

Duta ke Malaysia itu berkata laporan tersebut secara konklusif menyatakan bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu BUK 9M38-series darat ke udara, yang dilancarkan dari wilayah itu yang dikuasai kumpulan pemisah militia disokong Rusia dan kemudian diangkut balik ke Rusia.

"Bukti sokongan yang dikumpul itu boleh digunakan oleh pihak pendakwaan dan diterima di mahkamah," kata beliau dalam reaksi segera kepada Bernama melalui e-mel.

Pesawat MH17 itu ditembak jatuh di wilayah Donetsk, di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014, mengorbankan kesemua 298 orang yang berada dalam pesawat termasuk 44 rakyat Malaysia.

Duta itu menghargai kemajuan signifikan yang dicapai oleh JIT dalam siasatan yang merungkaikan beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran masyarakat terutama ahli keluarga mangsa.

BACA: Waris mahu tahu siapa dalang tembak MH17

BACA: Malaysia mahu tindakan tegas terhadap dalang tembak jatuh MH17 - Datuk Seri Najib Razak

Beliau berkata Ukraine dan Malaysia bersama negara lain yang menganggotai JIT seperti Belanda, Australia dan Belgium mencapai kemajuan berhubung dengan mekanisme pendakwaan yang efektif terhadap mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17.

"Walaupun kita tidak dapat melenyapkan kesedihan mereka yang kehilangan orang tersayang, kita boleh melakukan segala yang mungkin untuk memastikan keadilan dilaksanakan secara bebas, adil dan telus," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Ukraine tidak akan berdiam diri sehingga mengsa-mangsa MH17 mendapat keadilan tidak kira berapa ia memakan masa.

Pesawat Boeing 777 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu tempatan) pada 17 Julai dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari berikut.

Lembaga Keselamatan Belanda menyiarkan laporan teknikal pada 31 Okt tahun lepas yang mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu darat ke udara BUK di timur Ukraine.