Pasukan penyiasat Belanda yang mengetuai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 mengetengahkan satu teori alternatif pada Khamis, yang menyatakan kemungkinan pencariannya selama ini di kawasan yang salah.

Agensi berita Reuters melaporkan, Pengarah Projek Fugro Paul Kennedy berkata, mereka percaya penerbangan pesawat yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi pada dua tahun lalu itu mungkin dapat meluncur lebih jauh berbanding teori ia menjunam pada saat-saat akhir.

Ia sekali gus membuka satu lagi persoalan mengenai ketepatan zon pencarian yang selama ini dilakukan.

“Jika ia tidak (ditemui) di situ, ia bermakna berada di kawasan lain,” ujar Kennedy.

Kawasan pencarian yang dibuat selama ini ditentukan pada 2014. Ia melibatkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan lautan Hindi di perairan barat Australlia. Lokasi tersebut ditetapkan berdasarkan kepada kapasiti bahan bakar pesawat Boeing 777 itu.

Namun Kennedy mengandaikan, jika juruterbang masih cuba mengawal pesawat itu pada detik-detik terakhir, ia mungkin dapat meluncurkan pesawat itu lantas bergerak lebih jauh daripada kawasan pencarian, walaupun dalam keadaan kehabisan bahan bakar.

“Jika ia dapat dikendali secara manual, ia boleh meluncur jauh. Lebih jauh daripada kawasan pencarian,” kata Kennedy yang menambah, juruterbang yang berpengalaman boleh meluncurkan pesawat itu kira-kira 193 kilometer dari altitudnya selepas kehabisan bahan bakar.

Sebelum ini, pasukan penyiasat berpegang kepada teori bahawa jika pesawat itu kehabisan bahan bakar, ia mungkin menjunam terus ke laut.

“Jika anda kehilangan semua kuasa, mod auto pilot tidak berfungsi. Jika tiada siapa sedang mengawalnya secara manual, pesawat akan jatuh menjunam,” kata laporan yang memetik kata kapten yang berpengalaman menerbangkan Boeing 777.

Fugro berkata, pihaknya ’95 peratus yakin’ bahawa pesawat yang hilang itu tidak berada di kawasan pencarian.

Misi pencarian itu sepatutnya berakhir dalam tempoh tiga bulan, dan esok (Jumaat) akan berlangsung mesyuarat antara menteri-menteri pengangkutan dari Malaysia, China dan Australia yang antara lain dijangka membincangkan tentang masa depan dan perancangan mengenai usaha pencarian itu.

Pesawat MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, dan membawa sejumlah 239 penumpang dan anak kapal.