Penggalian semula kubur Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd diteruskan selepas mahkamah menolak permohonan menangguh proses penggalian kubur itu

Isteri Allahyarham Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan proses penggalian kubur suaminya, hari ini.


Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Mohtarudin Baki selepas mahkamah menolak permohonan Samirah.

Sehubungan itu, proses penggalian yang dijadualkan jam 10 pagi ini diteruskan.

Setakat jam 10.40 pagi tadi, pihak polis masih menutup laluan masuk utama ke kawasan Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara di sini bagi membolehkan kerja-kerja penggalian berjalan lancar.

BACA: Kronologi kes kematian CEO Cradle Fund Nazrin Hassan

Pegawai, anggota polis bersama pihak Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Kuala Lumpur dilihat mula memasuki kawasan perkuburan sejak jam 8.30 pagi tadi. Turut kelihatan termasuk pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.

BACA: Mahkamah benar permohonan polis gali kubur CEO Cradle Fund

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima kebenaran untuk menjalankan bedah siasat kedua hari ini.

Allahyarham Nazrin ditemui maut di rumahnya pada Julai lalu. Sebelum ini, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan kematiannya berpunca dari letupan telefon bimbit peribadinya.

Bagaimanapun, siasatan susulan mendedahkan wujud unsur mencurigakan yang mengakibatkan kematian Allahyarham.

Berikutan dari itu, pihak polis telah menahan reman isterinya, dua anak tiri serta bekas suami isterinya itu. Mereka dibebaskan dengan jaminan bagi membolehkan siasatan lanjutan dilakukan.

Pada hujung bulan lalu, abang Allahyarham, Dr Malek Hassan telah membuat permohonan supaya bedah siasat kedua dilakukan terhadap jenazah Nazrin atas alasan timbul keraguan terhadap bedah siasat yang kedua.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima kebenaran untuk menjalankan bedah siasat kedua hari ini.