Bermula 2 Mei ini, permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil utiliti dan cukai pintu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata langkah itu bertujuan mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan selepas ada kes "50 hingga 100 orang" menggunakan alamat sama untuk mendapatkan kad pengenalan.

"Ada permohonan alamat tetapi kawasan itu adalah tanah kosong tanpa rumah. Kita tidak mahu perkara itu berulang," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2018, di sini hari ini.

Mohd Azis berkata penggunaan alamat yang tidak sahih menyukarkan urusan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam urusan daftar mengundi dan juga pengesanan individu dalam siasatan polis.

Mohd Azis berkata bagi yang menyewa, mereka perlu menyertakan dokumen perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah serta dokumen lain bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.

"Sekiranya pemohon tidak dapat mengemukakan dokumen sokongan, mereka hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada penghulu, ketua kampung, tuan rumah, anggota Parlimen dan majikan untuk menyokong permohonan penukaran alamat pemohon," katanya.

BACA: Kerajaan tidak iktiraf individu miliki lebih satu kewarganegaraan - Muhyiddin

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata sebanyak 10,828 individu telah dilucutkan status kewarganegaraan sejak 1960 hingga sekarang atas pelbagai kesalahan menurut Perkara 24, 25, 26 Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan mengambil tindakan pelucutan kewarganegaraan selepas mendapat bukti yang kukuh terhadap individu-individu tersebut," katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan.

-- BERNAMA