Musibah banjir yang melanda utara Semenanjung khususnya negeri Pulau Pinang telah menyatukan pimpinan pusat dan negeri biarpun berbeza fahaman politik demi membantu mangsa banjir di kawasan itu yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata apa yang menarik perhatiannya daripada musibah itu ialah tanggungjawab pemimpin pusat dan negeri bekerjasama menyelesaikan masalah rakyat yang terjejas dengan banjir.

"Senario ini amat menarik. Politik matang diamalkan. Jauh di lubuk hati, saya berkata: Inilah Malaysia. Perbezaan politik tidak menghalang untuk bersama dalam menyelesaikan masalah rakyat. PM Najib adalah seorang yang budiman," katanya menerusi catatan terbaru blog beliau di http://sskeruak.blogspot.my/.

Salleh berkata beliau tertarik membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa beliau menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi Ahad meminta bantuan dan panggilan diangkat oleh Ahmad Zahid.

"...dan esok paginya mereka berjumpa dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat," kata Salleh.

BACA: Banjir P. Pinang: Soal kemanusiaan, tanggungjawab kerajaan pusat - PM Najib

BACA: Banjir P.Pinang: TPM lawat kawasan banjir


Salleh berkata beberapa hari lepas banjir teruk telah melanda utara Semenanjung mengakibatkan hampir 7,000 penduduk Pulau Pinang dan 3,000 penduduk Kedah terpaksa dipindahkan.

"Teruk atau tidaknya banjir ini dapat lihat bukan sahaja daripada jalan yang ditenggelami air, tetapi juga rumah yang turut digenangi air," katanya.

Salleh berkata: "'Hari ini (Selasa), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sendiri pula turun ke Pulau Pinang dan sekali lagi disambut oleh Lim serta diberikan taklimat oleh kerajaan negeri".

"Saya lihat mereka mesra bersama berbincang mengatasi masalah rakyat," katanya.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pulau Pinang meningkat kepada 7,294 orang daripada 1,774 keluarga tengah hari Selasa berbanding 6,080 mangsa membabitkan 1,572 keluarga pada pagi.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di empat daerah di Kedah setakat 4 petang semalam menurun kepada 442 orang berbanding 982 orang pada 9 pagi.

-- BERNAMA