#MYNICCARES ceriakan Syawal bersama MYNIC

#MYNICCARES ceriakan Syawal bersama MYNIC
Datuk Hasnul Fadhly Hasan (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada wakil Yayasan Muslimin Malaysia pada program CSR #MYNNICCARES. -Foto MYNIC
MASIH ada yang sayang.

MYNIC dalam usaha menjalankan sebahagian daripada strategi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR menganjurkan program #MYNICCARES Ceriakan Syawal Bersama MYNIC, baru-baru ini.

Seramai 55 keluarga Asnaf yang terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dan anak-anak kelainan upaya (OKU) mendapat manfaat daripada kempen di bulan Ramadan ini. 

Program CSR #MYNICCARES turut disertai Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan serta Pengurusan Tertinggi KKMM dan MYNIC.
Gobind menyerahkan sumbangan wang kepada keluarga asnaf di Puchong.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat berkenaan berlangsung selama dua hari iaitu pada 29 dan 30 Mei lalu membabitkan empat siri program CSR.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Penyerahan Sumbangan Raya kepada 30 keluarga Asnaf di Masjid Pulau Meranti, Puchong, serta menziarahi lima rumah keluarga Asnaf yang mempunyai ahli keluarga OKU.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk merasai sendiri kekurangan dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka dalam menjalani kehidupan seharian, di samping menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban dalam membuat persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi,” kata Hasnul Fadhly.  

Datuk Hasnul Fadhly Hasan bersama keluarga asnaf di sebuah hotel di ibu kota.
Beliau turut menambah penganjuran program ini menunjukkan MYNIC tidak hanya memfokuskan kepada hal-hal pentadbiran dan operasi semata-mata sebaliknya syarikat turut menitikberatkan perkara yang berkaitan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“Pelbagai inisiatif CSR telah dan akan dilaksanakan oleh MYNIC untuk dinikmati oleh masyarakat di luar sana, di mana untuk strategi jangka panjang ia akan memberi manfaat kepada sosio ekonomi negara secara keseluruhannya.

“MYNIC berharap dengan program tanggungjawab sosial korporat serta penyerahan wang zakat ini, ia dapat membantu golongan yang memerlukan serta membantu meringankan beban warga Asnaf bagi menyambut Hari Raya yang bakal menjelang tiba.

“Ia turut memberi peluang kepada peserta merasai sendiri kekurangan dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka dalam menjalani kehidupan seharian, di samping menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban dalam membuat persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya lagi.

Kemuncak program CSR #MYNNICCARES adalah dengan membawa golongan Asnaf yang mempunyai anak-anak OKU untuk merasai keseronokan membuat persediaan menyambut Hari Raya dengan membeli keperluan Hari Raya seperti baju, kasut dan sebagainya di Parkson IOI City Mall, Putrajaya dan seterusnya diadakan majlis iftar di Le Meridien Hotel, Putrajaya.

Keluarga asnaf bersama sumbangan yang diterima.
Pada majlis tersebut telah diadakan aktiviti penyerahan duit raya dan juga penyerahan hamper raya kepada semua keluarga Asnaf yang terlibat.

Inisiatif ini mendapat kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Yayasan Muslimin Malaysia dengan membabitkan jumlah sumbangan RM65,000.