Mahkamah hari ini diberitahu bahawa Low Taek Jho atau Jho Low yang mempamerkan dirinya sebagai seorang yang amat berpengaruh di negara Timur Tengah menyebabkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) percaya bahawa ahli perniagaan itu boleh membantu urusan pelaburan.

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau percaya “pengaruh” Jho Low mampu memudahkan pelaburan dan perkongsian antara 1MDB dengan negara tersebut.

“Negara-negara ini telahpun mempunyai lebihan wang tunai yang berlebihan disebabkan kenaikan harga minyak.

“Oleh yang demikian, saya berfikiran bahawa pengaruh dan jalinan oleh Jho Low sememangnya akan mempermudahkan matlamat-matlamat dan pelaburan-pelaburan 1MDB seperti yang diinginkan,” katanya di sini.

BACA: Saya tak kata ditipu Jho Low - Najib


Ketika ditanya bagaimana penubuhan 1MDB, Najib memberitahu, ia bermula daripada penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

Berdasarkan kefahaman, Najib berkata, idea TIA datang daripada perbincangan antara Jho Low dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kemudian pada Ogos 2009, Kabinet dengan “berat hati” membuat keputusan untuk mengambil alih TIA yang kemudian ditukar nama kepada 1MDB.

“Ia adalah keputusan yang telah dibuat secara tidak rela “reluctantly made” bagi melindungi kerajaan Negeri dan YDPA (Agong) daripada rasa malu dan juga untuk mengelakkan daripada impak buruk kepada pasaran bon Malaysia secara global.

“Ia adalah jelas di dalam pilihan yang telah dipertimbangkan oleh Kabinet seperti yang telah ditunjukkan di dalam Minit Kabinet bertarikh 26.6.2009, yang mana Kabinet telah menerima kedudukan Menteri Kewangan untuk bersetuju dengan pilihan iaitu TIA akan masih berada di bawah kerajaan Negeri tetapi dengan sokongan daripada kerajaan Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Tambah Najib, Jho Low yang kini buruan polis adalah kenalan rapat Sultan Mizan dan kekandanya, Tengku Rahimah Sultan Mahmud.

“Saya telah difahamkan bahawa Jho Low telah dipilih sebagai Penasihat kepada Pengerusi Lembaga Penasihat-penasihat TIA yang merupakan Tuanku sendiri,” katanya.

Najib berkata demikian ketika membaca kenyataan bertulis pada sesi pertanyaan utama oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sultan Mizan merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika TIA ditubuhkan pada 2009.

SRC International Sdn Bhd (SRC) pula adalah anak syarikat 1MDB.

Prosiding pembelaan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

BACA: Najib mohon mahkamah tidak membacakan nombor kad pengenalan