'Air tangan' chef terkemuka negara Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali sebagai Chef Wan menjadi pilihan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dijamu kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri, Iriana Joko Widodo.

Antara menu utama pilihan Dr Mahathir bagi majlis jamuan makan tengah hari yang dihoskan beliau serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali termasuklah nasi telur Terengganu, nasi kuning, kambing bakar, gulai lemak udang dan ayam percik.

Turut dihidangkan sebagai pembuka selera adalah cucur udang, tauhu goreng, kerabu pucuk paku, kerabu urap nangka selain dua jenis pencuci mulut iaitu bubur som som dan bubur pulut hitam.

Memetik video yang dikongsikan Jabatan Perdana Menteri, Chef Wan ketika ditemui di Seri Perdana hari ini berkata Dr Mahathir bersama keluarganya telah datang makan tengah hari di restorannya De.Wan 1958 by Chef Wan di Kuala Lumpur Ahad lepas sempena ulang tahun perkahwinan Perdana Menteri yang ke-63.

Sejurus, sehari selepas itu, Chef Wan akui teruja tatkala menerima panggilan daripada Jabatan Perdana Menteri memintanya menyediakan makanan untuk 60 orang hari ini sempena lawatan Presiden Indonesia.

“Ini merupakan menu yang kami hidangkan kepada Tun Mahathir (Ahad lalu). Sebenarnya, menu-menu yang dipilih itu, adalah menu yang Tun Mahathir makan.

"Jadi beliau berkata beliau mahu memperkenalkannya. Ia adalah menu restoran kedai,” katanya.

Beliau akui, permintaan itu bukanlah sesuatu yang sukar baginya kerana pernah mengendalikan situasi hampir sama sebelum ini.

Kedua-dua pemimpin kemudian ke Masjid Putra bagi menunaikan solat Jumaat dengan menaiki Proton Persona yang dipandu Dr Mahathir.

BACA: Jokowi akhiri lawatan rasmi, solat Jumaat bersama Tun Mahathir di Masjid Putra

BACA: Sekali lagi Tun Mahathir pandu Jokowi, adakah kereta ASEAN bakal jadi realiti?