Nombor '17476' pasti akan menjadi kenangan kepada rakan-rakan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia pada Isnin.

Nombor berkenaan merupakan nombor anggota Muhammad Adib, yang mesra dengan panggilan 'Mat Dib' dalam kalangan rakan setugas sepanjang berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pemergian Muhammad Adib, 24 tahun, setelah tiga minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) akibat cedera parah dipercayai diserang perusuh dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor bulan lepas, diratapi rakyat Malaysia.

Rakan setugasnya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Mohd Khairul Hafiz Mansor, 25 tahun, berkata Allahyarham terkenal dengan sikapnya yang sentiasa murah dengan senyuman dan tidak pernah berkira ketika menjalankan tugas.

"Allahyarham jenis pendiam, tetapi bila sudah kenal, pasti semua orang senang dengan perangai dia… kami dah anggap dia macam adik kami sendiri.

"Sehingga sekarang, senyuman manis dia ketika berada di balai ini sentiasa dalam ingatan semua rakan," katanya ketika ditemui Bernama di BBP Subang Jaya.

TONTON: Adib bawa cinta tunang ke liang lahad

Lebih memilukan, ketika tinjauan Bernama itu kelihatan pakaian rintangan api milik Muhammad Adib masih tergantung di suatu sudut rak pakaian di balai berkenaan.

Pakaian berwarna jingga itu merupakan antara pakaian dibawa bersama Muhammad Adib ketika operasi terakhir Allahyarham pada malam kejadian.

BACA: Akhirnya, Adib pulang jua ke kampung halaman

Mohd Khairul Hafiz berkata, walaupun Allahyarham sudah tiada, kenangan sepanjang bertugas bersama akan kekal terpahat dalam diri setiap anggota di balai itu.

"Allahyarham telah meninggalkan kita semua, namun semangat juangnya yang tidak pernah putus asa akan dijadikan suntikan baharu buat kami untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat," katanya sambil memegang pakaian operasi Allahyarham.