Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa tindakan peguam Nor Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili kerajaan dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah seperti yang diarahkan Peguam Negara.

Jelasnya, ia adalah disebabkan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mengetahui bahawa dalam masa yang sama Nor Syazlin turut mewakili keluarga Muhammad Adib.

“Peguam Negara telah keluarkan kenyataan apa berlaku. Dia jadi peguam keluarga Muhammad Adib, lepas itu jadi (peguam yang mewakili) kerajaan pula, mana boleh.

BACA: Peguam wakili KPKT dan keluarga Adib umum tarik diri

BACA: Syazlin berada dalam kedudukan 'konflik kepentingan' - Peguam Negara

“Kalau dia wakil (keluarga) Muhammad Adib dan kerajaan, kerana pihak yang memilih tidak sedar dia jadi peguam kepada keluarga Adib, dia mesti tarik diri dari (mewakili) kerajaan. Tetapi dia patut teruskan sebagai peguam keluarga Adib.

"Tapi dia tarik diri, dia anggap dia nak cari kebenaran. Perdana Menteri tidak berkuasa atas mahkamah seperti dulu. Jadi kalau tidak percaya kepada mahkamah nak percaya kepada siapa,” katanya.


Jelasnya, tindakan Peguam Negara itu mempunyai alasan dan asas yang kukuh.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu (PPBM) di Petaling Jaya.