Persidangan Dewan Rakyat boleh diadakan secara maya sekiranya perkara itu diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan langkah tersebut, Ahli Dewan Rakyat akan mendapat kelonggaran untuk bersidang dari rumah atau pejabat masing-masing, sekali gus mengelakkan penularan pandemik COVID-19.

Menurut Pakar Perlembagaan, Datuk Sallehuddin Saidin, bagaimanapun ia tidak boleh diadakan buat masa sekarang kerana hanya Dewan Rakyat sahaja yang diwartakan sebagai lokasi untuk mengadakan Persidangan Dewan Rakyat.

“Realistik atau tidak, itu persoalan dari segi kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan sidang Parlimen secara maya, namun sebenarnya kesediaan Parlimen adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

“Jadi, kalau peruntukan undang-undang membenarkan persidangan diadakan secara maya, saya percaya ia boleh dilaksanakan.

“Tetapi disebabkan persidangan terdekat adalah 18 Mei, masa terlalu suntuk membuat perubahan. Mungkin ia boleh dilaksanakan pada persidangan seterusnya Jun atau Julai depan, jika keadaan memerlukan,” kata beliau kepada Astro AWANI, hari ini.

Katanya, antara negara yang sudah mengamalkan konsep persidangan secara maya dalam usaha memerangi COVID-19 adalah Albania, Colombia, Brazil dan Maldives.

BACA: Parlimen: Tiada sidang, hanya Titah Diraja

BACA: Sidang Dewan Rakyat sehari tidak demokratik - Tun Mahathir


Dalam pada itu, beliau berkata persidangan yang dijadualkan selama sehari pada 18 Mei ini adalah selari dengan Perlembagaan Malaysia.

Jelas Sallehuddin, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang tempoh untuk satu-satu persidangan berlangsung.

Justeru, katanya Persidangan Parlimen tersebut juga secara jelas sah di sisi undang-undang kerana ia berlangsung dalam tempoh enam bulan selepas persidangan terakhir.

“Kalau kita rujuk kepada Perlembagaan Perkara 55 juga, ia menyatakan bahawa sidang Dewan boleh ditetapkan dalam tempoh enam bulan tersebut dan ditetapkan tarikh pertama mesyuarat diadakan.

“Namun, Perlembagaan atau mana-mana undang-undang tidak menetapkan berapa lama jumlah hari mesyuarat tersebut perlu diadakan atau mesyuarat pertama perlu diadakan," katanya.