Tutup

Nurul Izzah ditahan reman satu malam

Nurul Izzah ditahan reman satu malam
SIVARASA: Ikut prinsip asas demokrasi, ahli parlimen mesti diberi kekebalan untuk bercakap di Parlimen. - Foto Astro AWANI/ Haider Yutim
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ditahan reman satu malam dan akan dibawa ke lokap Jinjang hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi sistem pesanan Whatsapp kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Katanya, pendengaran untuk memanjangkan tempoh reman pula akan diadakan pada hari esok (Selasa) jam 10 pagi.

Ketika dihubungi Astro AWANI untuk pengesahan, Fahmi turut mengesahkan penahanan reman itu.

NURUL IZZAH DITAHAN DI BAWAH AKTA HASUTAN
Sebelum itu, peguam Nurul Izzah, Sivarasa Rasiah berkata polis tidak akan memohon untuk menahan reman Nurul Izzah malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang itu berkata, perkara itu dimaklumkan pegawai penyiasat, ASP Muniandy yang dikatakan telah mendapat arahan dari 'ketuanya' di Bukit Aman.

"Jadi bila saya tanya ASP Muniandy siapa bagi keputusan, dia kata ini bukan keputusannya, ini keputusan bosnya di Bukit Aman.

"Jadi kita tidak tahu siapa 'bos' ini dan di peringkat mana, tetapi itu lah kedudukan skarang.
"Oleh itu saya minta semua penyokong bersabar dan tunggu lah apa tindakan mereka," kata Sivarasa kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi pada Isnin.

Katanya pihak polis kini sedang memproses dokumentasi bagi penangkapan Nurul Izzah sebelum dibawa ke Balai Polis Jalan Travers.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil juga memaklumkan, Nurul Izzah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan sedang diambil cap jari serta gambar.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai telah ditahan dipercayai ada kaitan dengan ucapan Ketua Pembangkang yang dibacakannya di Parlimen pada 10 Mac lalu.

Ucapan itu dikatakan telah mempertikai dan menghina sistem kehakiman negara.

Sementara itu, Sivarasa turut menyelar tindakan polis menahan Nurul Izzah, menyifatkan ianya bertentangan dengan prinsip asas demokrasi.

"Ikut prinsip asas demokrasi, ahli parlimen mesti diberi kekebalan untuk bercakap di Parlimen.

"Kalau tidak ada itu, tak guna kita ada Parlimen, lebih baik tutup parlimen dan terang-terang buat cara kuku besi... tak payah cakap pasal demokrasi lagi," tambahnya.