Kementerian Pendidikan mempersoal laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang mendapati masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak.

Di mana ia salah satu faktor yang menyebabkan kes kekurangan berat badan, terbantut, dan kurus kering dalam kalangan kanak-kanak di PPR dan mencatatkan dua kali ganda lebih tinggi berbanding purata kes di Kuala Lumpur.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan tiada laporan murid-murid terbantut dan tidak mampu membeli makanan sama ada di sekolah bandar atau luar bandar.

"Bagi satu laporan yang dikeluarkan UNICEF, saya tidak tahu lah macam mana laporan itu boleh dikeluarkan dan dibandingkan pula dengan Ghana.

"Kita sendiri boleh lihat sebenarnya, tiada pelajar-pelajar sebegini (yang terbantut dan kurang nutrisi) kalau kita hendak bandingkan dengan Ghana dari segi pemakanan.

BACA: Terbantut, kurus kering: Ada keluarga di PPR hanya hidangkan satu lauk sehari

"Ini kerana kita bagi (Rancangan Makanan Tambahan) kepada semua pelajar-pelajar yang memerlukan sama ada di bandar atau luar bandar.

"Kita juga ada kajian dan tidak ada setakat ini di sekolah yang menunjukkan bahawa ada murid-murid yang tak mampu, sampai begitu teruk sekali dan tidak ada kes lagi yang dalam laporan daripada guru menunjukkan bahawa murid tak makan di sekolah," ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Pantai Dalam) yang bertanyakan apakah langkah yang diambil Kementerian Pendidikan susulan laporan UNICEF yang menunjukkan tahap nutrisi dan pertumbuhan kanak-kanak di Malaysia lebih kritikal berbanding Ghana.

Tambah beliau, pihak sekolah turut menjalankan Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) untuk pelajar-pelajar di sekolah menengah dalam memastikan murid berada dalam kesiahatan yang memuaskan terutama dalam aspek obesiti dan kurang nutrisi.