Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetuju dengan arahan guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata sehubungan itu pihaknya merayu campur tangan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan memperbetulkan keadaan yang disifatkan semakin menekan dan membebankan guru-guru Bahasa Inggeris dalam negara.

"Pihak NUTP amat hairan dengan cadangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris, Malaysia (ELTC) yang asyik menghendaki guru-guru opsyen Bahasa Inggeris menduduki peperiksaan sedangkan isu utama di sini adalah mengenai pedagogi dan methodogi," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata guru-guru berkenaan diminta menduduki peperiksaan MUET sedangkan mereka turut mempunyai kelayakan mengajar bahasa Inggeris dan telah mengikuti pelbagai latihan termasuk 'Cambridge Placement Test' dan 'APTIS-Assess English Skills' yang dikelolakan British Council.

BACA: Maszlee tolak cadangan hapuskan MUET

Beliau berkata NUTP berpendapat masalah utama bukan tertumpu pada guru-guru opsyen tetapi kepada masalah yang lebih serius iaitu kekurangan guru Bahasa Inggeris.

"Contohnya di Kelantan terdapat kekurangan melebihi 500 guru opsyen bahasa Inggeris di sekolah rendah manakala di sekolah menengah kekurangan lebih 200 guru, manakala di Batu Pahat, Johor pula kekurangan 300 guru di sekolah rendah dan 200 guru di sekolah menengah," katanya.

BACA: Pertimbang keputusan minta guru Bahasa Inggeris ambil MUET

Arahan supaya guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling pada 14 April lalu, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut arahan pekeliling itu, semua guru opsyen bahasa Inggeris juga perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kalayakan "Common European Framework of Reference for Languages (CEFR)".

BACA: MUET tingkat mutu bahasa Inggeris pelajar - Mustafa

Peperiksaan MUET itu juga perlu dilakukan sebelum hujung Disember tahun ini dan dibuat dengan pembiayaan sendiri.