Protes duduk bantah ‘Occupy UM8’ yang berlangsung selama enam hari berakhir petang Isnin di Bangunan Canseleri Universiti Malaya (UM).

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) yang juga merupakan pelajar UM8, Khairol Najib Hashim berkata protes ‘Occupy UM8’ kini berakhir, namun tuntutan mereka supaya kesemua tuduhan dan hukuman kepada UM8 digugurkan masih diteruskan.

Beliau berkata walaupun sudah lima hari protes duduk bantah itu dilakukan, namun tiada respon yang diberikan daripada mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

“Kami sudah pun ke bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP) pagi tadi untuk berjumpa dengan Prof Dr Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni namun beliau tidak berada di sini.

"Jadi kami ke Canseleri kerana Naib Canselor Prof Dr Mohd Amin Jalaudin yang menaungi UM dan kami mahu minta respon segera tuntutan kami daripada Naib Canselor, namun beliau pun tiada petang tadi,” kata Khairol.

“Pada malam ini, Naib Canselor akan mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia (PMUM), jadi kami beri kepercayaan kepada PMUM untuk membawa tuntutan kami.

"Petang tadi kami ada mengangkat kertas ‘See You In Court’ sebagai amaran kami jikalau keputusan malam ini tidak memihak kepada kami,” tambah beliau selepas selesai protes ‘Occupy UM8’ petang semalam.

Khairol berkata pihak UM8 memang bertekad untuk menyerahkan satu memorandum mengenai isu UM8 kepada Canselor UM, Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Dr Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak untuk memulakan langkah yang seterusnya jika mesyuarat malam Isnin itu tidak memihak kepada UM8.

Presiden Pro-Mahasiswa UM, Safwan Shamsuddin yang juga mahasiwa kumpulan UM8 berkata jika tuduhan dan hukuman mereka tidak digugurkan, kes ini akan dibawa ke mahkamah.

“Proses demokrasi yang kita perjuangkan itu kita tetap teruskan, apa jua yang berlaku, apa rintangan yang berlaku, ia tidak akan mematahkan semangat kami sebab saya percaya generasi akan datang tidak perlu dikenakan hukuman seperti saya,” kata Safwan.

Sekumpulan lebih 70 mahasiswa menyertai protes ‘Occupy UM8’ semalam di Bangunan Canseleri sebelum menamatkan protes terbabit.

OCCUPY UM
Sebahagian daripada mahasiswa UM yang menyertai protes duduk bantah 'Occupy UM8' berbaris di Bangunan Canseleri petang tadi - Foto Syazmee

Occupy UM

Beberapa Mahasiswa UM menampal kertas yang tertulis "See You In Court" di bangunan Canseleri petang tadi - Foto Syazmee

Occupy UM
Kelihatan seorang peronda kampus UM sedang mencabut kertas yang tertulis 'See You In Court' yang ditampal oleh mahasiswa protes 'Occupy UM8' -Foto Syazmee

Sejak 10 Disember lalu, protes duduk bantah 'Occupy UM8' ini dilakukan sebagai tanda tidak bersetuju mereka terhadap hukuman yang diberi kepada lapan pelajar yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram pada Oktober lepas.