Pahang mula dilanda banjir apabila seramai 142 mangsa daripada 35 keluarga di Rompin dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggu pada Sabtu.

Kesemua mangsa adalah dari Kampung Setajam, Kampung Teluk Gading, Tanjung Gemok, Kampung Janglau, Kampung Pianggu dan Kampung Kurnia.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, kejadian banjir berlaku kira-kira jam 12 tengah hari susulan hujan lebat yang bermula sejak petang Jumaat.

"Pihak Jawatankuasa Bencana Daerah telah memberi bantuan memindahkan mangsa banjir ke PPS dengan dengan kerjasama APM, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pihak JKM dan APM juga telah memberi bantuan bekalan makanan basah, selimut, bantal dan keperluan lain yang turut dibantu pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: MET Malaysia keluarkan amaran cuaca waspada di Pahang, Johor

BACA: Amaran cuaca waspada di Pahang dan Johor

Beliau berkata, kawalan keselamatan dan kebersihan juga telah dilaksanakan di PPS yang dibuka bagi menjamin keselesaan mangsa banjir.

"Pihak berkuasa juga akan memantau keadaan semasa berikutan hujan berterusan dan meminta orang ramai mengikuti nasihat yang diberikan," katanya.