Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pakej Rangsangan Ekonomi: Kerajaan perlu fokus terhadap kebajikan ekonomi rakyat

Pakej Rangsangan Ekonomi: Kerajaan perlu fokus terhadap kebajikan ekonomi rakyat
DR IRMOHIZAM: Saya berharap agar langkah pengawalan yang dinyatakan BNM benar-benar dapat menyokong ekonomi individu, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat korporat bagi menangani kesan akibat wabak COVID-19. - gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dalam berdepan dengan wabak COVID-19, kerajaan diminta untuk menekankan fokus terhadap kebajikan ekonomi rakyat menerusi pakej rangsangan yang akan diumumkan pada Jumaat.

Peguambela dan peguamcara, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata ia penting bagi mengelakkan rakyat menganggur dengan lebih teruk seperti kegawatan ekonomi pada 1986 dan 1998.

“Kerajaan juga harus memberi fokus terhadap hutang isi rumah yang akan lebih terkesan apabila fasa kegawatan.

“Selain itu, bantuan khusus juga harus diperkenalkan kepada mereka yang menceburkan diri dalam bidang peruncitan, peniaga gerai atau pasar malam yang hilang punca pendapatan utama.
“Secara tidak langsung, pastinya ada pembuangan kerja yang berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Irmohizam juga berharap agar langkah pengawalan yang dinyatakan Bank Negara Malaysia (BNM) dapat menyokong ekonomi golongan yang terkesan.
“Wabak pandemik bukan sahaja mengakibatkan nyawa manusia terancam, bahkan sektor perdagangan, pelancongan, dan pelaburan bakal turut mengalami impak negatif terhadap pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia.

“Kerajaan sudah menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkurangan sebanyak 0.8% sehingga 1.2%, iaitu penurunan sebanyak RM10 bilion sehingga RM17 bilion.

“Saya berharap agar langkah pengawalan  yang dinyatakan BNM benar-benar dapat menyokong ekonomi individu, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat korporat bagi menangani kesan akibat wabak COVID-19,” tambahnya.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang menyeluruh esok (Jumaat).

Menurut Muhyiddin, rakyat segenap lapisan akan memperoleh manfaat daripada pakej berkenaan.